Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Hari ini cukup penting buat ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) apabila mengadap Panel Pendengaran Doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Keputusan panel bebas itu nanti bakal menentukan nasib bekas pemain nombor satu dunia itu, sama ada meneruskan misi terakhir ke Sukan Olimpik 2016 Rio ataupun terus menggantung raket.

Sebelum ini timbul desas-desus Chong Wei yang didapati positif menggunakan bahan terlarang, dexamethasone di Kejohanan Dunia tahun lalu menimbang akan bersara jika dia digantung dua tahun.

Jika hanya enam bulan ataupun kurang daripada itu, dia akan segera mendaftar dan menyertai mana-mana kejohanan besar dalam tempoh terdekat untuk mengumpul mata ke Olimpik.

“Saya yakin dia bakal mendapat keputusan positif, dalam masa sama saya tidak kisah hukuman yang bakal dikenakan terhadapnya enam bulan atau beberapa bulan sekalipun. Dia pasti sempat ke Olimpik Rio,” kata jurulatih Chong Wei, Tey Seu Bock.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:44 AM