Dengan bangganya selebriti itu melaungkan kepada dunia perkara yang paling menjadi keutamaan kepadanya adalah ibadah. Daripada orang rasa hormat kepadanya timbul rasa menyampah.

Semua orang Islam dituntut melaksanakan ibadah sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah SWT. Maka tidak perlulah selebriti itu terjerit-jerit beritahu yang amat mementingkan ibadah kerana ia sememangnya menjadi kewajiban setiap Muslimin dan Muslimat. Adakah apabila dia berkata begitu, dia berasakan yang amal ibadahnya sudah cukup sempurna mengalahkan umat Islam yang lain.

Adakala bukan kuantiti ibadah itu yang perlu dibanggakan sangat, tetapi keikhlasan dalam melaksanakan ibadah itu. Jika sampai menunjuk-nunjuk kepada orang, ia sudah jadi riak dan bongkak.

SS yakin ramai lagi selebriti dan artis di luar saya yang sangat rajin melakukan amal jariah, tetapi mereka lebih suka bersikap mendiamkan diri. Hanya mereka yang tahu sejauh mana mereka menjaga hubungan mereka dengan Allah SWT. Apa pun dan siapa pun kita, memang kita dituntut melaksanakan perintah Allah SWT, maka lakukanlah dengan segala kerendahan hati.

SS: Perlukah kita beritahu orang setiap kebaikan yang kita lakukan?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 12:09 PM