SUSU ibu mengandungi antibodi melindungi anak daripada penyakit berbahaya.
SUSU ibu mengandungi antibodi melindungi anak daripada penyakit berbahaya.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Penyusuan badan mempunyai 1,001 khasiat dan faedah bagi si ibu serta si kecil kerana ia adalah cara yang amat istimewa bagi merapatkan hubungan dan mencambahkan rasa kasih sayang antara dua insan itu selain memberikan kesihatan yang diinginkan kepada bayi khususnya.

Susu ibu mengandungi semua khasiat yang diperlukan bayi untuk berkembang sihat dalam enam bulan pertama hidupnya dan penyusuan boleh diteruskan sehingga bayi berusia dua tahun walaupun si kecil sudah diberikan makanan pepejal.

Penyusuan badan juga membantu bayi melawan jangkitan semasa bulan pertama kehidupannya kerana susu ibu mengandungi antibodi yang membantu melindungi bayi daripada penyakit seperti gastroenteritis, selesema, jangkitan urinari dan telinga. Ia juga mengurangkan risiko bayi mengalami alahan seperti asma.

Selain antibodi dalam susu ibu, badan ibu akan menghasilkan antibodi baru ketika si ibu terdedah kepada jangkitan dan antibodi itu akan dipindahkan kepada bayi melalui susu badan.

Dalam masa sama, penyusuan badan juga adalah pilihan yang paling sihat bagi si ibu kerana ia mengurangkan risiko kanser payudara dan ovari serta keretakan tulang.

Pakar Pediatrik dan Kardiologi Kanak-kanak Dr Ahmad Azahari berkata, dari sudut praktikal, faedah besar penyusuan badan adalah ia sangat mudah diurus kerana tiada apa yang perlu untuk dicuci, disteril atau disediakan. Si ibu dan bayi akan berasa gembira melakukannya.

Menurutnya, kepuasan melihat si kecil membesar dengan sihat hasil pemberian susu ibu pastinya mendatangkan kegembiraan yang tidak ternilai dan tidak mampu diungkap dengan kata-kata atau dibayar de­ngan wang ringgit.

“Hakikatnya pemberian susu ibu bukan saja memberikan kesihatan berganda, malah ia amat mudah serta menjimatkan kerana tidak perlu mengeluarkan kos besar untuk membeli susu formula.

“Walaupun pemberian susu ibu secara eksklusif sekurang-kurangnya sehingga bayi mencecah enam bulan agak sukar dilakukan terutama kepada ibu yang bekerja, namun disiplin dan rutin tetap si ibu dalam me­nyediakan bekalan susu amat diperlukan.

“Jadual pengepaman susu secara konsisten setiap hari mampu membantu anda untuk sentiasa mempunyai bekalan susu badan yang mencukupi dan pastinya ia tidak menyebabkan anda berasa tertekan kerana mampu menyusukan bayi sekurang-kurangnya sehingga anak berusia enam bulan,” kata­nya .

Kaedah membanyakkan susu badan

- Perah (pam) dengan kerap dan konsisten

Perkara paling asas untuk meningkatkan susu adalah dengan kerap mengepam susu, sebaiknya setiap dua hingga tiga jam sekali. Jadual yang konsisten amat diperlukan terutama kepada ibu yang bekerjaya bagi memastikan susu badan tidak berkurangan.

- Minum air sekurang-kurangnya tiga liter sehari

Komponen utama susu badan adalah air dan disebab­kan itu, badan perlu mempunyai bekalan air yang mencukupi untuk menghasilkan susu berterusan. Sebaiknya banyakkan minum air kosong atau susu dan kurangkan pengambilan air manis kerana air manis akan menyerap cecair dalam tubuh dan menyebabkan dehidrasi.

- Jadual pemakanan yang betul

Untuk menghasilkan susu yang penuh nutrisi, si ibu perlu mengambil sarapan, makan tengah hari dan malam dengan betul kerana badan anda memerlukan nutrisi untuk menghasilkan susu yang berkhasiat.

Kekurangan nutrisi boleh menyebabkan penghasilan susu terganggu. Jika membiarkan perut anda dimasuki angin, kemung­kinan besar anak anda juga akan mengalami masalah ‘kembung’.

- Kekal ceria dan senyum

Aliran susu hanya akan lancar apabila si ibu tenang dan ceria kerana sekiranya si ibu berasa tertekan, serabut atau kelam-kabut, penghasilan susu juga akan terbantut. Antara tip untuk memastikan susu sentiasa banyak ketika dipam adalah dengan menatap gambar anak anda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 12:17 PM