TAN (berdiri tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan dana St Nicholas’ Home.
TAN (berdiri tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan dana St Nicholas’ Home.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Cacat penglihatan bukan bermakna kehidupan tidak boleh diteruskan. Malah, jika diberi peluang, golongan ini juga mampu hidup berdikari dan bekerja seperti insan lain.

Justeru, sebagai masyarakat yang prihatin tidak salah jika kita memberi sokongan dengan menghulurkan bantuan diperlukan terutama dalam meningkatkan kemahiran mereka.

Menurut Pengurus Besar L’Occitane, Tan Seong Teck, jenama berkenaan menjalankan tanggungjawab sosial korporat sejak enam tahun lalu sebagai inisiatif berterusan membantu kanak-kanak serta orang dewasa buta menambah ilmu untuk kebaikan di masa akan datang.

“Ini kali kedua kami menyalurkan sumbangan kepada St Nicholas’ Home dengan memberi bantuan meningkatkan kesedaran dan mengumpul dana untuk mereka.

“Melalui kemahiran dan ilmu diperoleh, ia dapat membantu meningkatkan keupayaan di dalam kerjaya sekali gus mampu hidup berdikari.

“Harapan kami untuk bersama-sama membangunkan Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) dan St Nicholas’ Home supaya golongan cacat penglihatan dapat hidup secara normal dan sempurna,” katanya.

Ujarnya, sepanjang lima tahun menyalurkan bantuan kepada MAB, ia memberi peluang kepada pihaknya bertemu dan bekerjasama dengan insan menakjubkan ini.

Sementara itu, RM40,000 berjaya dikumpulkan menerusi projek amal yang dilaksanakan jenama berkenaan bagi meneruskan usaha memberi bantuan diperlukan kepada golongan kurang bernasib baik.

Lebih membanggakan apabila L’Occitane Foundation Perancis turut memberi sokongan dan sumbangan berjumlah RM21,285 hasil daripada usaha mengumpul dana dalam projek sama.

Jenama berkenaan mula menjalankan projek amal itu pada 9 Oktober 2014 bersempena sambutan Hari Penglihatan Sedunia. Sepanjang kempen berlangsung, beg tote edisi terhad, I Care About Sight dijual di semua cawangannya pada harga RM20 setiap satu.

Sumbangan berjumlah RM20,000 disumbangkan kepada MAB di Pusat Lembah Kinta, Ipoh bagi meningkat­kan pengurusan dan peralatan dalam bilik darjah di situ.

Sumbangan yang diberikan bertujuan melengkap­kan peralatan pembelajaran seperti glob dan peta Braille, jubin serta laluan batu peka sentuh.

Lebihan dana berjumlah RM20,000 dan RM21,285 pula digunakan bagi memberi sokongan kepada program latihan pastri di St. Nicholas’ Home, Pulau Pinang yang membolehkan pelatih daripada golongan cacat penglihatan mendapat latihan yang sempurna bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang berkenaan.

Pada masa sama, ia juga membantu mengasah bakat terpendam dan memberi peluang kerjaya di dalam bidang pembuatan roti dan kek kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 12:46 PM