KEUSAHAWANAN bukan hanya sekadar ilmu perniagaan semata-mata, tapi turut memberi peluang kepada siswa untuk memperkukuhkan lagi nilai kemahiran insaniah. - Gambar hiasan
KEUSAHAWANAN bukan hanya sekadar ilmu perniagaan semata-mata, tapi turut memberi peluang kepada siswa untuk memperkukuhkan lagi nilai kemahiran insaniah. - Gambar hiasan
BANYAK peluang yang boleh digunakan siswa atau siswazah untuk mengembangkan lagi ilmu keusahawanan yang dipelajari di IPT terutama dengan sokongan industri. - Gambar hiasan
BANYAK peluang yang boleh digunakan siswa atau siswazah untuk mengembangkan lagi ilmu keusahawanan yang dipelajari di IPT terutama dengan sokongan industri. - Gambar hiasan
PELUANG pekerjaan yang semakin sengit memerlukan siswa melakukan anjakan minda untuk memilih keusahawanan sebagai satu bidang kerjaya. - Gambar hiasan
PELUANG pekerjaan yang semakin sengit memerlukan siswa melakukan anjakan minda untuk memilih keusahawanan sebagai satu bidang kerjaya. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin


Banyak usaha dilakukan bagi menarik minat siswa serta bakal siswazah menceburi bidang keusahawan, namun masih belum mampu mencapai hasil memberangsangkan.

Walaupun ada kebarang­kalian golongan itu mahu bergelar usahawan selepas tamat belajar, beberapa faktor seperti takut berdepan risiko, gagal merencana dengan baik serta kurangnya maklumat dikatakan menjadi penghalang utama.

Modul keusahawanan yang diperkenalkan institusi pengajian tinggi (IPT) juga sering kali disalah anggap sebagai satu konsep pembelajaran dan pengajaran semata-mata bagi memenuhi keperluan ditetapkan.

Natijahnya, walaupun keusahawanan mampu memberi impak besar kepada siswa, persepsi yang salah ibarat menggagalkan usaha yang dijalankan.

Justeru, bagaimanakah peranan IPT untuk memperbetulkan tanggapan itu demi menjayakan misi menjadikan keusahawanan sebagai bidang pilihan seperti disasarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)?

Timbalan Presiden Jaringan Antarabangsa, Industri dan Institusi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Profesor Datuk Ahmad Zahir Mokhtar berkata, cabaran utama IPT memperkasakan bidang ke­usahawanan ini terletak bagaimana mahu memperbetulkan tanggapan siswa bahawa keusahawanan adalah bidang yang mampu menawarkan masa depan.

Beliau berkata, ramai generasi muda hari ini masih dengan persepsi lama yang menganggap bidang keusahawanan ini hanyalah satu konsep perniagaan semata-mata.

“Pada hal keusahawanan itu mencakupi satu istilah yang besar, saling berkaitan dengan aspek tertentu serta turut bersangkutan dengan usaha-usaha pelbagai pihak di luar IPT.

“Gambaran yang salah banyak mempengaruhi golongan ini untuk ‘menolak’ keusahawanan sedangkan ia bukan hanya satu skop yang tertumpu pada perniagaan semata-mata.

“Banyak elemen-elemen suntikan dalam bidang keusahawanan ini yang boleh diterokai, sekali gus memberi peluang kepada siswa untuk memba­ngunkan potensi diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata, di luar negara, modul keusahawanan lebih mudah diterima dalam kalangan siswa ter­utama negara yang mendominasi ekonomi dunia.

“Di Amerika Syarikat misalnya, keusahawanan adalah modul penting diterapkan kepada siswa dan dilakukan secara lebih agresif sejak 2012 rentetan suasana ekonomi.

“Universiti of Miami, Stanford dan Yale misalnya menawarkan program ke­usahawanan kepada siswanya sebagai satu lang­kah membina idea lebih besar dalam inovasi.

“Boleh dikatakan ke­usahawanan adalah tapak masa depan sebenar siswa memulakan kehidupan mereka dan seharusnya peluang ini direbut menerusi usaha dilakukan IPT tempatan,” katanya.

Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara 2011-2015 fasa 2 meletakkan fokus kepada usaha mengarusperdanakan pendidikan keusahawanan selaras mencapai objektif mening­katkan daya keusahawanan dalam kalangan siswa yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Bagi memperkasakan minat menceburi bidang keusahawanan selepas tamat pengajian, Program Inkubator Usahawan Siswazah dilaksanakan antara Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad (SME Bank) dan 17 buah universiti tempatan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Ia bertujuan mengurangkan angka pengangguran dalam kalangan siswazah yang dianggarkan seramai 210,263 orang.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan modul keusahawanan yang cuba diterapkan dalam kalangan siswa

negara ini berdepan kekangan tertentu.

“Antaranya, mentaliti siswa yang masih lagi mahu makan gaji dengan sektor kerajaan atau swasta kerana faktor tertentu seperti takut berdepan risiko kerugian dan tidak cukup modal.

“Ada juga IPT masih tidak mempunyai matlamat jelas mengenai pelaksanaan modul keusahawanan, masih tidak mempunyai mekanisme pengukuran ciri atau nilai keusahawanan yang boleh diterima sebagai satu alat pengukuran standard.

“Kredibiliti pensyarah juga masih dipersoal, tang­gapan ibu bapa dan ma­syarakat serta modul yang diguna pakai juga antara kekangan dihadapi untuk menjayakan misi keusahawanan ini,” katanya.

Mengakui masih terdapat kelemahan dalam modul keusahawanan ditawarkan oleh IPT di negara ini, beliau berkata, banyak usaha sudah dilakukan bagi memperbaiki kelemahan itu.

“Antara giat dilakukan ialah mewujudkan satu ekosistem keusahawanan berkonsepkan lestari di IPT masing-masing, meningkatkan keupayaan pensyarah keusahawanan, memberi perubahan set minda kepada ibu bapa juga bekerjasama dengan industri dan mengubah suai atau menggubal kurikulum dan metodologi pendidikan.

“Paling penting mengubah minda siswa untuk melihat potensi keusahawanan sebagai platform penjanaan ekonomi negara, perkembangan kreativiti dan inovasi menghasilkan produk baru, meningkat­kan kualiti kehidupan dan sebagainya.

“Sebenarnya, keusahawanan adalah bidang yang banyak membuka peluang kepada siswa melayakkan diri bersaing membangunkan kemajuan diri dalam pelbagai sudut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 10:45 AM