Kuala Lumpur: Bekas jurulatih kebangsaan Rexy Mainaky menasihatkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya memberi peluang kepada pemain muda selepas melihat prestasi pemain senior terumbang-ambing di Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2015 yang berakhir semalam.

Menurut bekas pemain beregu Indonesia itu, BAM harus fokus kepada barisan pemain muda kerana mereka yang bakal menggantikan pemain sedia ada nanti.

“Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen mungkin akan memberi kesan yang baik buat badminton Malaysia terutama dari sudut pembangunan dan saya harap beliau mampu melakukan sesuatu untuk menaikkan semula prestasi merosot itu,” katanya.

Jelasnya, Frost harus bertindak melahirkan bakat baru dan pada masa yang sama ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei harus bertindak sebagai model ikutan buat pemain lain.

“Kalau di Indonesia, kami lebih banyak memberikan peluang kepada pemain muda beraksi di peringkat antarabangsa dan hasilnya sangat memberangsangkan apabila ada yang mula menunjukkan peningkatan.

“Program pembangunan untuk pemain muda bertujuan membariskan mereka dalam skuad kebangsaan seperti Piala Thomas dan Sukan Olimpik,” katanya.

Rexy percaya sekiranya kerap beraksi, cepat atau lambat sudah pasti pemain yang didedahkan itu akan menyerlah juga suatu hari nanti.

“Sekarang kami memiliki ramai pemain bagus, cuma mereka masih belum konsisten, tapi apa yang dilakukan ini adalah untuk menghadapi Sukan Olimpik 2020 Tokyo nanti,” kata bekas pemenang pingat emas Sukan Olimpik 1996 Atlanta.

Pemain senior seperti Chong Wei Feng dan Liew Daren dilihat masih jauh untuk mencapai tahap seperti Chong Wei, malah mereka juga terkandas di pusingan kelayakan Terbuka Malaysia 2015.

Ini mungkin masa terbaik buat BAM menilai semula pemain pelapis seperti Soo Teck Zhi, Tan Kian Meng, Soon Joo Vern dan Cheam June Wei untuk diberi pendedahan sebanyak mungkin di peringkat antarabangsa walaupun hanya kejohanan kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 5:17 AM