KEMATIAN Paul Walker hampir membuatkan Vin Diesel enggan meneruskan penggambaran Fast & Furious 7.
KEMATIAN Paul Walker hampir membuatkan Vin Diesel enggan meneruskan penggambaran Fast & Furious 7.
Oleh Ramlah Zainal

(Yang menemu bual pelakon utama dan penerbit filem Fast & Furious 7, Vin Diesel anjuran United International Pictures (UIP) di Beijing, China, baru-baru ini)

Bukan saja menampilkan babak aksi dan plot cerita yang lebih hebat, sekuel ketujuh Fast & Furious turut memberi penghormatan terakhir buat bintang utamanya mendiang Paul Walker.

Paul, 40, yang memegang watak Brian O’Conner dalam siri Fast & Furious meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Santa Clarita, Selatan California, Amerika Syarikat pada 30 November 2013.

Pemergian Paul yang dianggap sebagai simbol budaya lumba kereta jalanan itu bukan saja mengejutkan barisan pelakon utama filem berkenaan, malah jutaan pengikutnya di seluruh dunia.

Difahamkan, peminat setia dan barisan bintang utama filem ini menitiskan air mata ketika menonton babak akhir Paul pada sesi tayangan perdana filem Fast & Furious 7 di Los Angeles, baru-baru ini.

Selain Paul, filem terbitan Universal Pictures ini mempertaruhkan barisan pelakon hebat seperti Vin Diesel, Michelle Rodriguez, Dwayne Johnson, Tyrese Gibson, Chris ‘Ludacris’ Bridges dan Jordana Brewster.

Tidak ketinggalan, Fast & Furious 7 turut menampilkan bintang hebat seperti Jason Statham, Kurt Russell, Djimon Hounsou, Elsa Pataky, Lucas Black, Nathalie Emmanuel, Ronda Rousey dan bintang aksi terkenal Thailand, Tony Jaa.

Selaku teraju utama dan penerbit francais Fast & Furious, Diesel, 47, mengakui, selepas pemergian Paul dia sukar untuk meneruskan penggambaran Fast & Furious 7 itu.

Pada masa sama, pembikinan Fast & Furious 7 juga ditangguhkan sementara waktu berikutan kematian mengejut aktor berkenaan ketika itu.

“Pemergian Paul bukan saja meninggalkan kesan secara peribadi sebaliknya dalam karier sebagai pelakon.

“Maklumlah, hubungan kami sangat rapat seperti keluarga dan kami sudah bergandingan dalam filem ini selama 15 tahun sejak berlakon dalam siri pertama pada 2001.

“Hanya Paul yang memahami diri saya dan dialah tempat untuk saya berkongsi segala masalah. Beliau juga banyak mengajar saya untuk menjadi seorang pelakon yang lebih beremosi dan bapa yang baik.

“Malah, saya turut menamakan anak ketiga, Pauline sempena nama mendiang untuk mengabadikan kenangan dengannya serta menjadi sebahagian dari ahli keluarga kami,” katanya.

Vin ditemui ketika sesi temubual eksklusif dengannya yang diatur United International Pictures di Hotel Park Hyatt, Beijing, baru-baru ini.

Hadir sama, dua lagi pelakon filem berkenaan iaitu Michelle Rodriguez dan Jason Statham.

Sebagai sahabat yang paling rapat, Diesel mengakui menangisi pemergian Paul itu selama lebih setahun.

“Saya tidak keluar rumah selama dua minggu selepas kematiannya. Namun, selepas berfikir panjang saya putuskan untuk kembali ke lokasi kerana percaya Paul mahukan saya menghabiskan sekuel ketujuh ini.

“Justeru, selepas berbincang lanjut dengan barisan tenaga kreatif filem ini, kami akhirnya sepakat untuk meneruskan pembikinan filem yang tertangguh serta membuat penghormatan terakhir buat Paul dalam babak akhir sekuel ketujuh ini,” katanya.

Difahamkan, Paul hanya sempat mengikuti sebahagian saja penggambaran filem ini sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

Penerbit kemudian menggunakan tiga pelakon ‘stand in’ termasuk dua adik mendiang melakonkan watak Brian.

Lebih banyak aksi mendebarkan

Mengulas lanjut, mengenai kehebatan siri ketujuh Fast & Furious 7 itu, kata Diesel, pihaknya juga percaya ia tidak akan menghampakan mendiang Paul dan keluarganya serta pengikut setia siri berkenaan.

“Saya juga berbincang dengan pengarah filem ini, James Wan untuk memastikan sekuel kali ini ada kelainan dan lebih hebat serta mantap dari sebelumnya.

“James, seorang pengarah yang bagus dan dia juga pastikan babak aksi yang ditampilkan juga lebih unik dan dinamik khusus untuk memenuhi cita rasa peminat setia siri ini.

“Saya dan Jason juga berlatih selama dua minggu untuk menjayakan babak pergaduhan dengan dibantu pasukan koreografi filem ini,” katanya.

Seperti sekuel terdahulu, Fast & Furious 7 turut menceritakan balas dendam yang membabitkan Deckard Shaw (lakonan Jason Statham) terhadap Dominic Toretto (lakonan Diesel) dan ahli keluarganya kerana menyebabkan adiknya, Owen Shaw (lakonan Luke Evans) lumpuh dalam Fast & Furious 6.

Apa yang menarik, sekuel ketujuh ini menampilkan aksi sebenar tanpa kesan visual membabitkan babak kereta melambung yang dipaparkan dalam filem ini.

Babak itu dihasilkan dengan beberapa kereta dibuang dari pesawat tentera jenis Lockheed C-130 Hercules.

Salah satu babak mencemaskan pula memaparkan Paul berpaut pada bas yang hampir terbabas ke dalam gaung.

Tidak ketinggalan, babak Dominic yang cukup mendebarkan ketika melakukan aksi ‘semi kamikaze’ dan hampir meragut nyawanya demi untuk menyelamatkan rakannya dalam filem ini.

Begitu juga dengan aksi kemuncak membabitkan perlumbaan kereta yang dipandu Diesel dan Paul dengan berlatar belakang panorama bandar raya Abu Dhabi di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Selain Abu Dhabi, filem ini turut membabitkan penggambaran di Atlanta, Amerika Syarikat dan Tokyo, Jepun.

Siri filem Fast & Furious juga memperoleh kutipan keseluruhan melebihi AS$2 bilion (RM6.4 bilion) dalam tayangannya di seluruh dunia setakat ini.

Filem Fast & Furious 7 ditayangkan di negara ini mulai hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 10:08 AM