ROSMAWATI menunjukkan pakaian wanita muslimah yang dijual di butiknya.
ROSMAWATI menunjukkan pakaian wanita muslimah yang dijual di butiknya.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuantan : Dhia Rose yang mengusahakan butik pakaian muslimah akan meluaskan rangkaian butiknya di seluruh negara terutama di sekitar Kuantan, Lembah Klang dan Pantai Timur menjelang 2016.

Pengasasnya, Rosmawati Muhamad berkata, pihaknya akan memperuntukkan modal kira-kira RM100,000 untuk membuka setiap butik, namun ia bergantung pada saiz serta lokasi.

Katanya, walaupun jenama Dhia Rose baru di pasaran, pihaknya yakin setiap koleksi yang dikeluarkan akan memenuhi keperluan pelanggan.

“Kami memilih untuk membuka butik fizikal pertama Dhia Rose di Kuantan kerana di kawasan ini agak sukar untuk mendapatkan pakaian muslimah dan untuk tahun ini kami juga akan memberi tumpuan terhadap jualan secara offline, namun masih menerima pembelian jika mendapat permintaan menerusi online.

“Selain menampilkan baju muslimah untuk golongan dewasa, kami juga akan memperkenalkan koleksi bagi kanak-kanak dengan saiz bermula daripada S hingga ke XXL,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, butik terbabit menjual pakaian dan kelengkapan muslimah patuh syariah di bawah jenama Dhia Rose berikutan mendapat permintaan daripada pengguna.

Rosmawati berkata, pihaknya juga komited untuk menjadi pusat sehenti untuk kelengkapan muslimah daripada kepala hingga hujung kaki termasuk pakaian umrah dan haji.

Beliau berkata, harga yang ditawarkan oleh Dhia Rose juga berpatutan dan pihaknya memilih fabrik berkualiti bagi setiap koleksi yang diperkenalkan.

“Bagi rancangan jangka panjang, kami akan berusaha untuk menembusi Asia Tenggara seperti Brunei, Indonesia dan Singapura dalam tempoh lima tahun lagi.

“Kami juga akan membuka peluang untuk mereka yang berminat menjadi pengedar Dhia Rose pada masa akan datang jika mempunyai permintaan dan untuk pertanyaan boleh menghubungi kami menerusi Facebook (Dhia Rose) atau ikuti Instagram (Dhiaroseclothing),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 6:59 AM