HADIRIN bergambar kenangan ketika pelancaran Hari Kesihatan Mulut Sedunia di Petaling Jaya.
HADIRIN bergambar kenangan ketika pelancaran Hari Kesihatan Mulut Sedunia di Petaling Jaya.
TINGKATKAN kesedaran mengenai penjagaan kesihatan mulut untuk elak pelbagai penyakit.
TINGKATKAN kesedaran mengenai penjagaan kesihatan mulut untuk elak pelbagai penyakit.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Ramai beranggapan menjaga kesihatan gigi sekadar memberusnya setiap hari, namun tahukah anda sebenarnya fakta menunjukkan memberus gigi hanya membersih 25 peratus daripada mulut dan ini pastinya tidak mencukupi.

Malah, mungkin tidak ramai yang mengetahui kesihatan mulut turut berkait dengan pelbagai penyakit kronik jika diabaikan. Justeru, sebagaimana setiap orang berwaspada dengan tahap kesihatan anggota tubuh badan yang lain, begitu juga sepatutnya perhatian sewajarnya terhadap kesihatan mulut dan gigi kita.

Kajian yang dijalankan baru-baru ini sempena Hari Kesihatan Mulut Sedunia membabitkan hampir 380 rakyat Malaysia menunjukkan hanya 31 peratus daripada mereka mengetahui penyakit diabetes mempunyai kaitan dua hala dengan kesihatan mulut.

Hanya 34.6 peratus daripada mereka saja mengetahui penyakit gusi yang tidak dirawat boleh memberi kesan kepada wanita hamil dan bayi dalam kandungan.

Selain itu, kajian berkenaan juga mendedahkan rakyat Malaysia tidak mengamalkan rutin penjagaan mulut yang lengkap dengan 78.19 peratus tidak menyedari atau kurang pasti memberus gigi saja tidak mencukupi untuk pembersihan mulut yang menyeluruh kerana ia hanya membersih 25 peratus mulut kita.

Kajian ini merumuskan hanya sejumlah kecil (32.7 peratus) rakyat Malaysia mengamalkan rutin penjagaan mulut menyeluruh termasuk berkumur dengan pengkumur mulut.

Presiden Persatuan Doktor Pergigian Malaysia Dr Teh Tat Beng berkata, penjagaan mulut yang baik bukan sekadar senyuman manis dan nafas segar, malah kajian menunjukkan kaitan antara kesihatan mulut dan kesihatan keseluruhan.

Kesihatan mulut boleh memberi kesan kepada beberapa penyakit kronik dan berjangkit yang menunjukkan simptom di dalam mulut. Pada masa sama, penyakit mulut boleh menyebabkan jangkitan, keradangan dan kesan serius yang lain terhadap kesihatan diri keseluruhannya.

“Contohnya, masalah mulut boleh memburukkan penyakit kencing manis sementara penyakit berkenaan pula boleh menyebabkan luka lambat sembuh dan memburukkan penyakit gusi. Apatah lagi, penyakit gusi yang tidak dirawat sering dikaitkan dengan risiko tinggi kelahiran bayi pramatang dan berat badan rendah.

“Malangnya, kesedaran mengenai isu ini amat rendah dalam kalangan rakyat Malaysia. Oleh itu, pendidikan berterusan penting untuk memastikan lebih ramai orang menjaga mulut mereka untuk menghindari masalah kesihatan yang lain,” katanya pada majlis perasmian Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2015 (Malaysia) di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Majlis disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya. Ia turut dihadiri Pengarah Bahagian Kesihatan Mulut Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Khairiyah Abd Muttalib serta Pengarah Kumpulan Serantau Johnson & Johnson Malaysia Stuart Crabb.

Lazimnya, masyarakat umum hanya berjumpa doktor gigi apabila mengalami sakit atau menghadapi masalah gigi, justeru Hari Kesihatan Mulut Sedunia adalah masa terbaik untuk mengingatkan rakyat Malaysia bahawa penjagaan mulut yang baik penting dan perlu diberi perhatian oleh semua orang tidak kira usia atau jantina.

“Dengan mengabaikan rutin penjagaan mulut yang lengkap, kita mengabaikan satu-satunya perkara yang membolehkan kita makan, minum, senyum dan bercakap dengan yakin. Ini akan menjejaskan kesihatan, perhubungan peribadi, pekerjaan dan juga harga diri kita,” katanya.

90 peratus penduduk dunia alami penyakit mulut

Hari Kesihatan Mulut Sedunia memberi penekanan terhadap penjagaan mulut dan Persatuan Doktor Pergigian Malaysia dengan kerjasama peneraju rumusan cecair kumur mulut, Listerine meraikan hari berkenaan dengan usaha untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia bahawa penjagaan mulut yang baik amat penting untuk kesihatan diri keseluruhannya.

Kempen yang disokong Bahagian Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan ini akan menyaksikan penganjuran pameran bergerak, inisiatif pendidikan dan program atau ceramah oleh doktor gigi untuk meningkatkan kesedaran mengenai kebersihan gigi dan langkah penjagaan mulut yang leng­kap dalam kalangan masyarakat.

Bertemakan Smile for Life, Listerine mendapat kepercayaan doktor pergigian di seluruh dunia kerana keupayaannya membunuh kuman berbahaya termasuk kuman yang menyebabkan nafas berbau serta plak dan gingivitis.

Manfaat baru rumusan itu terbukti berkesan membantu meningkatkan kesihatan mulut berjuta pengguna di seluruh dunia.

Sementara itu, Dr Hilmi berkata, 90 peratus daripada penduduk dunia akan mengalami penyakit mulut dalam hidup mereka daripada karies, penyakit periodontal sehinggalah kanser mulut.

Katanya, sekitar 60 hingga 90 peratus daripada kanak-kanak sekolah di seluruh dunia mempunyai karies gigi sementara sakit gigi dinamakan punca utama ketidakhadiran sekolah di banyak negara.

“Di negara maju, beban penyakit mulut menurun, tetapi komplikasi gusi semakin meningkat terutama dalam kalangan warga tua.

“Di Malaysia pula, didapati kira-kira sembilan daripada 10 orang dewasa berpengalaman mempunyai penyakit periodontal dan karies manakala kira-kira 40 hingga 75 peratus daripada kanak-kanak sekolah mempunyai karies gigi.

“Dalam kalangan kanak-kanak berusia lima tahun, 76 peratus didapati mempunyai karies dan sembilan peratus daripada kanak-kanak sekolah Malaysia tidak hadir ke kelas atau sekolah kerana sakit gigi,” katanya.

Menurutnya, menerusi langkah yang diambil kementerian, penyakit karies gigi dapat dikurangkan di negara ini, bagaimanapun beban penyakit periodontal pula menunjukkan peningkatan.

Kajian menunjukkan 94 peratus orang dewasa terjejas dengan keadaan periodontal dan hanya 20 peratus daripada kanak-kanak berusia 12 tahun dan 11 peratus remaja berusia 16 tahun mempunyai periodontium sihat.

Statistik ini amat membimbangkan kerana periodontium yang tidak sihat boleh menyebabkan gigi mudah tertanggal dan akhirnya kehilangan gigi jika tidak dirawat. Kira-kira tujuh peratus daripada orang dewasa di Malaysia sudah kehilangan semua gigi semula jadi mereka.

Di samping itu, 30 peratus daripada orang dewasa Malaysia didapati mempunyai masalah kesihatan oral yang menjejaskan kualiti hidup mereka seperti keyakinan diri, masalah dengan interaksi sosial dan kesakitan ketika makan.

Menyedari bahawa banyak yang perlu dilakukan untuk rakyat di negara ini, Dr Hilmi berkata, Bahagian Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan merumuskan Pelan Kesihatan Oral Kebangsaan Malaysia bagi memastikan langkah bersepadu oleh pihak berkepentingan untuk meningkatkan kesihatan mulut rakyat.

“Dalam fasa pertama Rancangan Kesihatan Oral Kebangsaan 2001-2010 dan kini fasa kedua 2011-2020, kami menetapkan pelbagai matlamat untuk karies gigi, keadaan periodontal, status gigi dan kanser mulut di samping matlamat sokongan lain supaya semua pengamal perubatan pergigian awam dan swasta, industri pergigian dan agensi di luar pergigian boleh berusaha ke arah ini.

“Banyak penyakit gigi boleh dielakkan, justeru saya menggalakkan kerajaan, persatuan kesihatan dan sokongan pembiayaan dan sosial bagi pencegahan, pengesanan dan rawatan program untuk keadaan dan penyakit gigi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya setiap individu mempunyai peranan masing-masing terhadap penjagaan diri yang baik, mengurangkan pengambilan gula, menggunakan ubat gigi berfluorida, berkumur apabila perlu dan pemeriksaan gigi secara berkala.

“Saya dimaklumkan pada Kongres Pergigian Dunia (FDI) 2014 lalu di India yang mana pemimpin pergigian dari lebih 200 negara bertemu, kenyataan dasar diperkenalkan Malaysia diterima pakai oleh badan antarabangsa iaitu perlu ada usaha bersepadu antara ibu bapa, sekolah, kementerian kesihatan dan semua pihak yang berkepentingan untuk mengurangkan pengambilan gula dalam semua bentuk.

“Ia diterima pula oleh undi popular. Saya gembira kerana komitmen ini dan menganggapnya amat penting kerana pengambilan berlebihan gula menyebabkan kerosakan gigi dan bakteria yang menyebabkan penyakit periodontal berkembang dalam persekitaran berasid yang meningkat dengan memakan gula dan makanan lain yang meningkatkan keasidan dalam mulut. Gula juga meningkatkan diabetes dan obesiti, seterusnya penyakit jantung, buah pinggang, penuaan pramatang dan banyak penyakit kronik yang akan meningkatkan perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan, sekali gus akan mengurangkan produktiviti, kualiti hidup dan jangka hayat rakyat Malaysia,” katanya.

Selain itu katanya, rakyat juga perlu sedar penggunaan tembakau melalui merokok atau lain-lain, juga pengambilan alkohol yang berlebihan akan menjejaskan kesihatan gigi dan kesihatan umum.

Bukan saja membawa kepada masalah gigi, ia termasuk bau mulut, perubahan warna gigi, radang bukaan kelenjar air liur di atas langit mulut, meningkatkan pengumpulan plak dan kalkulus pada gigi, meningkatkan kehilangan tulang di rahang, peningkatan risiko leukoplakia (tompok putih dalam mulut) juga peningkatan risiko menghidap penyakit periodontal yang diketahui boleh menyebabkan kehilangan gigi. Di samping itu, lambat sembuh selepas mencabut gigi, rawatan periodontal, atau pembedahan oral, kadar kejayaan yang lebih rendah daripada prosedur implan pergigian dan pening­katan risiko mendapat kanser mulut.

Walaupun majoriti kanser mulut yang dikaitkan dengan penggunaan tembakau, mengunyah daun sirih dan pengambilan alkohol yang berlebihan sudah terbukti boleh menyebabkan kanser mulut, sama ada digunakan secara tunggal atau kombinasi.

Justeru katanya, usaha seperti yang diadakan sempena Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2015 amat membanggakan kerana membantu meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mulut kepada rakyat serta usaha semua pihak berkepentingan yang menjayakan program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 5:05 AM