(ARAH jam dari kiri) Hisham Mohammed Fadlallah, Tasneem Suleyman Huseyin, Ismail Hamadoun, Nada Sami Kader, Mohammed Osama Badri Mohammed, Rowan Kamal Zine El Abidine, Tamer Ahmed Ebu Sebah dan Lena Maumoon Abdulqadir.
(ARAH jam dari kiri) Hisham Mohammed Fadlallah, Tasneem Suleyman Huseyin, Ismail Hamadoun, Nada Sami Kader, Mohammed Osama Badri Mohammed, Rowan Kamal Zine El Abidine, Tamer Ahmed Ebu Sebah dan Lena Maumoon Abdulqadir.
Agensi

Istanbul: Sekumpulan pelajar perubatan Britain keturunan Sudan yang hilang selepas pergi ke Turki dibimbangi memasuki sempadan Syria untuk menyertai Negara Islam (IS) sebagai doktor.

Keluarga pelajar terbabit juga dipercayai berada di sempadan Turki-Syria dalam usaha memujuk mereka pulang sebelum terlewat, kata seorang ahli parlimen pembangkang Turki.

Menurut laporan media Britain, sembilan pelajar terbabit terbang ke Istanbul dari Khartoum pada 12 Mac lalu sebelum meneruskan perjalanan menaiki bas ke Syria.

Mereka turut disertai dua penuntut perubatan dari Amerika Syarikat (AS) dan Kanada yang juga berketurunan Sudan.

Anggota Parlimen Turki dari Parti Republik Rakyat (CHP) Mehmet Ali Ediboglu yang mewakili wilayah Hatay yang bersempadan Syria menulis di laman Facebooknya bahawa dia kini membantu keluarga terbabit mencari anak mereka.

“Seramai 11 doktor terdiri daripada sembilan rakyat Britain dan dua Sudan - datang ke Turki seminggu lalu untuk menyertai IS.

“Keluarga mereka kini berada di Turki untuk mencari dan membawa mereka pulang.

“Harapan kami supaya mereka sempat diselamatkan dan dipulangkan ke pangkuan keluarga masing-masing,” katanya.

Dekan pelajar di Universiti Sains Perubatan Khartoum, Ahmed Babikir berkata, lima pelajarnya hilang ketika perjalanan ke Turki.

“Semuanya mempunyai pasport Britain dan keturunan Sudan.

“Keluarga mereka kini berusaha menghalang mereka menyertai IS. Kami tidak dapat mengesahkan sama ada mereka berjaya masuk ke Syria atau tidak,” katanya.

Sementara itu, akhbar The Guardian melaporkan di laman webnya niat kumpulan pelajar terbabit terbongkar selepas anggota termudanya, Lena Maumoon Abdulqadir, 19, menghantar pesanan WhatsApp kepada kakaknya di Britain.

Pesanan berkenaan menunjukkan gambar selfie Lena senyum dengan keterangan mereka di Turki dan dalam perjalanan ke Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 8:11 AM