PUTERI Sarah bakal keluar rekaan eksklusif Muslimah untuk edisi raya.
PUTERI Sarah bakal keluar rekaan eksklusif Muslimah untuk edisi raya.
Oleh Shakilawati Abd Rahman


Selepas mengambil keputusan berehat daripada dunia lakonan dua tahun lalu, Pu­teri Sarah Liyana beralih arah bekerja sepenuh masa sebagai pengurus sebuah butik Muslimah di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Sepanjang tempoh itu banyak pengalaman baru diraih isteri pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof ini.

Dalam masa sama, dia rancak menghasilkan koleksi pakaian Muslimah di bawah label Shara by Puteri Sarah dan mendapat sambutan memberangsangkan.

Namun hujung tahun lalu, Sarah menamatkan khidmatnya di butik berkenaan dan kini menguruskan Butik Rumoda yang beroperasi di Bangsar.

Ketika ditemui di butik berkenaan, Sarah mengakui fesyen adalah minatnya sejak dulu dan seronok menjadikan bidang itu sebagai kariernya.

“Saya letak produk saya di butik ini dan apabila tahu mereka mencari pengurus, cepat-cepat saya hantar resume.

“Alhamdulillah, rezeki berpihak pada saya. Kerjaya ini beri peluang kepada saya mendalami selok-belok dunia fesyen.

“Pada masa sama, dapat saya aplikasikan apa yang dipelajari ketika di universiti dulu,” kata graduan pengurusan pemasaran ini.

Kata Sarah, jalan yang dipilihnya mendapat sokongan suami dan keluarga. Bahkan Syamsul insan paling gembira apabila dia beralih ke bidang itu.

“Dia bangga melihat saya bekerja keras untuk dapat apa yang saya mahu. Saya boleh berdikari walaupun dia mampu menyara saya.

“Saya sudah biasa bekerja, memang tak boleh duduk diam di rumah. Apabila ada kerja, saya tidak buang masa.

“Saya bersyukur dikurniakan mentua yang baik dan sentiasa menyokong. Ibu mentua datang melawat saya di tempat kerja bahkan apa saja majlis saya dia pasti hadir. Kehadirannya buat saya rasa bersemangat,” kata Sarah.

Menyentuh perkembangan bisnes pakaian Muslimah yang diusahakan, Sarah berkata bagi memenuhi permintaan dia bukan hanya fokus pada pengeluaran jubah tetapi juga blaus, skirt, palazo dan tudung segera.

Malah dia bakal mengeluarkan beberapa rekaan eksklusif untuk edisi raya.

“Koleksi Shara by Puteri Sarah boleh dibeli dalam talian atau boleh datang ke Butik Rumoda, Bangsar dan butik Grandeur, Bandar Baru Uda, Johor.

“Selepas ini saya akan terbitkan lebih banyak koleksi jubah yang sesuai dipakai setiap hari termasuklah ke tempat kerja bahkan tudung segera pun akan keluar sebelum Aidilfiti.

“Untuk edisi raya, saya sedang meneliti beberapa rekaan eksklusif,” katanya.

Beralih kehidupan peribadi, saban hari dirasakan cukup bahagia di samping Syamsul bahkan pasa­ngan romantik ini tidak betah berjauhan.

Kata Sarah, kali pertama mereka berjauhan selepas berkahwin adalah ketika Syamsul mengarah supertelefilem Lagenda Long Piah.

“Pada mulanya, memang terasa sunyi apabila dia tiada. Syamsul berkampung di Banting, selama dua minggu dan saya akan ke sana selepas selesai kerja.

“Selepas itu dia terbabit dengan drama Gerak Khas serta filem Resolasi dan kami sudah dapat me­nyesuaikan diri dengan keadaan itu.

“Bagaimanapun untuk filem Munafik dia sanggup berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Janda Baik setiap hari. Habis lambat macam mana pun penggambaran dia akan balik ke rumah. Sebagai isteri sudah tentu saya terharu.

“Bersamanya saya rasa sangat bahagia. Dia pelengkap hidup saya,” katanya.

Kata Sarah, memandangkan dia dan Syamsul sibuk dengan karier masing-masing maka mereka cukup menghargai masa bersama.

Jika tidak terikat dengan kerja mereka akan keluar bersiar-siar ataupun bercuti di luar Kuala Lumpur. Walaupun hanya tiga hari, itu sudah memadai buat mereka.

“Saya suka berjalan tetapi Syamsul sebaliknya. Selepas hidup bersama, Syamsul sudah ikut hobi saya. Banyak jugalah tempat sudah kami kunjungi.

“Kalau cuti tak panjang kami ke destinasi percutian dalam negara malah sebelum penggambaran filem Munafik bermula, Syamsul bawa saya ke Bangkong untuk makan-makan. Dia tahu saya suka makan.

“Kami turut bercuti ke Australia selama seminggu dan Insya-Allah selepas kerjanya selesai kami akan melancong lagi. Dia yang nak dan saya ikut saja.

“Bagi saya kualiti masa sangat penting untuk menyuburkan kasih sayang antara suami isteri,” kata­nya yang berharap dapat berpuasa dan solat tarawih bersama suami di Makkah pada Ramadan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 12:51 PM