Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) diakui membabitkan kos agak tinggi namun semua pihak yang terbabit dalam sektor pembinaan termasuk perunding artikel perlu menyerap kos itu bagi memastikan setiap projek hartanah dapat dilakukan dengan cekap dan berkesan.

Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Ar Chan Seong Aun berkata, kos pelaksanaan BIM adalah pada tahap empat kali ganda berbanding kaedah sedia ada namun ia dilihat berbaloi kerana perisian atau teknologi ini mampu memacu potensi pertumbuhan industri hartanah secara lebih pantas.

“Negara boleh menjadikan Singapura sebagai rujukan di mana mereka mewajibkan perunding arkitek menyediakan pelan bangunan untuk menggunakan BIM bagi projek berkeluasan 5,000 hingga 10,000 kaki persegi di mana mereka turut menyediakan geran dan boleh dituntut semula,” katanya.

Penggunaan BIM memudahkan pihak arkitek untuk melakukan pelan bangunan di mana setiap model yang dihasilkan boleh menjana 10 lagi lukisan dalam pelbagai aspek di mana ia menawarkan maklumat lebih tepat dan mengurangkan kesilapan.

“Teknologi ini membantu pihak perunding mereka bentuk luaran atau dalaman sesuatu bangunan dan pada masa sama memberi lebih banyak maklumat kepada semua pihak terbabit seperti pemaju, kontraktor, arkitek dan penyelenggara bangunan untuk menghasilkan serta mengekalkan bangunan yang memiliki ketahanan dan berkualiti,” katanya.

Seong Aun berkata, beliau menjangkakan BIM mencatatkan peningkatan pertumbuhan organik 50 hingga 60 peratus daripada aspek penggunaan dalam kalangan perunding arkitek menjelang 2020 berbanding lima peratus yang dilaporkan melalui satu kajian pada 2013.

“Perkara ini perlu dilaksanakan secara lebih agresif kerana ia membantu dalam memacu industri pembinaan supaya lebih produktif melalui peningkatan terhadap proses dan kecekapan pembinaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 8:53 AM