TEKNOLOGI BIM adalah pilihan tepat bagi meningkatkan produktiviti pemaju dan kontraktor dalam penghasilan projek hartanah di Malaysia.
TEKNOLOGI BIM adalah pilihan tepat bagi meningkatkan produktiviti pemaju dan kontraktor dalam penghasilan projek hartanah di Malaysia.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Apabila berbicara mengenai Pemodelan Maklumat Bangunan atau Building Information Modeling (BIM) sudah pasti ramai yang belum mengetahui apakah maksud sebenarnya perkara terbabit.

BIM adalah satu teknologi baru yang sedang berkembang di seluruh dunia dan digunakan dalam perancangan, reka bentuk, pembinaan, dan pengurusan fasiliti.

Teknologi ini menyediakan satu pangkalan data berorientasikan objek terdiri daripada model pintar 3D dengan maklumat bersepadu dan pangkalan data hubungan yang saling berkaitan. Ia juga adalah satu metodologi membangunkan maklumat bangunan secara berpusat supaya ia mudah dicapai, telus dan mengelakkan pertindihan.

BIM dilihat mampu membantu kontraktor dan pemaju mengelakkan kos dan masa tambahan yang dihadapi sepanjang tempoh pembinaan dan selepas projek itu siap, sekali gus menjadikan industri itu lebih cekap, berkesan, fleksibel dan inovatif di samping meningkatkan produktiviti negara.

Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) Ir Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, trend pelaksanaan Pemodelan Maklumat Bangunan atau Building Information Modeling (BIM) dilihat amat menggalakkan dan berkembang dengan pesat bermula pertengahan 2012 iaitu lapan peratus berbanding dua peratus pada peringkat penggunaan awalnya di negara ini pada 2006.

Menurutnya, penyertaan CIDB secara agresif dalam pelaksanaan BIM bermula pada 2012 dilihat mencatatkan kejayaan membanggakan kerana ia dilaksanakan secara persendirian oleh syarikat swasta pada sembilan tahun lalu.

“Melalui kajian pada 2013, penggunaan BIM dalam industri pembinaan dilihat berada pada tahap 22 peratus. Bagaimanapun, angka ini disangkal banyak pihak dan kajian seterusnya mendapati penggunaan BIM adalah pada paras 13 peratus dan ia dijangka meningkat dengan drastik pada hujung tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, tiga perkara utama yang dilihat mengekang pelaksanaan BIM pada masa ini adalah kos perisian dan latihan yang agak tinggi, tempoh masa yang diambil untuk melatih kepakaran dalam BIM dan keperluan perkakasan baru untuk melaksanakan metodologi BIM.

“Sehubungan itu, CIDB menubuhkan Jawatankuasa Pemandu BIM pada 24 Julai 2013 dengan kerjasama pelbagai pihak dalam industri di mana ia mencadangkan beberapa perkara termasuk pembabitan industri dalam pembangunan Pelan BIM Kebangsaan, pembangunan Garis Panduan Perlaksanaan BIM (BIM Guide), program kesedaran BIM dan kolaborasi bersama vendor dan prinsipal perisian BIM untuk memberikan tawaran harga perisian dan latihan lebih rendah kepada pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 8:52 AM