Kuala Lumpur: Kerajaan disarankan supaya lebih menggalakkan pelaksanaan BIM dalam industri pembinaan di negara ini selari dengan hasrat untuk mencapai tahap keselamatan optimum dan pengawalan kecekapan kos dalam projek hartanah melalui insentif rebat, pengecualian cukai, kos menaik taraf dan penyelenggaraan.

Pengarah Urusan Andaman Property Management Sdn Bhd Datuk Seri Dr Vincent Tiew berkata, BIM menjadi teknologi berkesan dalam meningkatkan keberkesanan dan produktiviti bagi projek pembangunan hartanah dengan negara jiran seperti Singapura dan China dilihat lebih agresif serta serius dalam pelaksanaan dan penerimaan teknologi ini.

“Saya berpendapat BIM adalah langkah maju ke hadapan dan pemaju hartanah perlu mengambil inisiatif menggabungkan BIM pada tahap terbaik seperti mana pelaksanaan dan pembangunan teknologi serta bangunan hijau,” katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, BIM semakin popular dalam kalangan pemaju di negara ini dan ia menunjukkan trend serta pertumbuhan positif dalam pembangunan industri hartanah tempatan.

Menurutnya, teknologi itu sudah pun menjadi sebahagian daripada keperluan dalam projek pembangunan namun hanya bagi modul terpilih saja membabitkan aspek seperti sistem pengawasan dan kawalan kebakaran.

Bagaimanapun, terdapat lebih 50 peratus daripada pemaju masih tidak menggabungkan penggunaan BIM yang komprehensif dalam fasa pembinaan masing-masing kerana ia dikekang oleh kos dan permintaan pasaran, malah pembangunan di negara ini perlu disesuaikan dengan keperluan dan kehendak pasaran serta industri.

“Sebagai contoh, sistem BIM tidak boleh berada dalam permintaan bagi pasaran pinggir atau luar bandar meskipun untuk pembangunan bangunan tinggi. Selain itu, sesetengah pemaju hanya membina hartanah yang ada kalanya dilihat cuba memenuhi trend permintaan terkini, namun akhirnya beralih kepada keperluan sesetengah pihak saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 8:51 AM