AFP

Indian Wells, AS: Andy Murray melakar rekod kemenangan terbanyak pada era Terbuka oleh pemain lelaki Britain dengan kemenangan 6-3, 6-4 ke atas Feliciano Lopez sekali gus layak ke separuh akhir Terbuka BNP Paribas, semalam.

Pilihan keempat itu menempah pertemuan dengan juara bertahan Novak Djokovic, yang memenangi perlawanannya secara percuma apabila Bernard Tomic menarik diri daripada pertembungan suku akhir kejohanan ATP dan WTA itu.

Murray kini menang 497 perlawanan, mengatasi Tim Henman bagi kemenangan terbanyak dalam era Terbuka oleh pemain Britain.

Pemain Scotland berusia 27 tahun itu meneruskan dominasinya ke atas pemain tangan kidal Sepanyol, Lopez, selepas menang semua 10 pertembungan antara kedua-duanya.

“Corak permainannya saya fikir agak sama dengan saya,” kata Murray, yang kini hanya memerlukan tiga kemenangan bagi meraih angka keramat 500. “Saya tidak banyak berdepan masalah menentang pemain tangan kidal.”

Murray menamatkan musim bersejarah pada 2013, apabila dia muncul pemain lelaki pertama Britain memenangi Wimbledon dalam tempoh 77 tahun, dengan pembedahan belakang. Proses pemulihan mengambil masa dan dia gagal bertindak baik pada 2014.

Namun Murray kembali menemui sentuhan hujung tahun lalu dan dia kini teruja memenangi gelaran pertama di Indian Wells minggu ini. Pencapaian terbaiknya adalah naib juara pada 2009 apabila dia kecundang di tangan Rafael Nadal.

Pemain nombor satu dunia Djokovic mara ke separuh akhir tanpa perlu berpeluh dan mengangkat raketnya selepas sakit belakang dan sakit gigi memaksa Tomic menarik diri.

Pemain Australia itu menarik diri beberapa jam sebelum dijadual turun menentang Djokovic pada sesi petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 8:13 AM