Seiring dengan arus kemodenan, FATIN FARHANA JAPRE akui mata turut mencapai evolusi fesyen bagi memenuhi impian remaja masa kini yang ingin kelihatan lebih sempurna.

Jika dulu, kanta lekap menjadi alternatif remaja untuk menggantikan penggunaan cermin mata, kini penggunaan kanta lekap lebih untuk tujuan berfesyen sama ada yang rabun penglihatan atau sebaliknya. Kewujudan kanta lekap berwarna menjadikan pemakaian kanta lekap lebih popular dalam kalangan remaja sebagai aksesori kecantikan mata.

Permintaan yang tinggi menyebabkan ejen yang tidak berdaftar mengambil kesempatan menjual kanta lekap secara terus kepada pembeli. Lihat saja lambakan pelbagai jenama kanta lekap di pasaran. Ada yang dijual dengan harga serendah RM20. Namun, adakah anda tahu ia akan memberi kesan buruk kepada kesihatan mata?

Menurut Ketua Pusat Mata dan Lasik Pusat Perubatan Prince Court, Prof Dr Muhaya Mohamad, pengguna dinasihatkan jangan cepat terpengaruh dengan harga murah kerana kebersihan dan kualiti kanta lekap berkenaan tidak terjamin.

“Kebersihan adalah aspek paling penting dalam pemakaian kanta lekap kerana mata sangat sensitif dengan kekotoran yang boleh menyebabkan jangkitan kuman yang serius,” katanya.

Dalam artikel ini, Gen Y mengupas beberapa isu berkenaan penggunaan kanta lekap yang perlu diberi perhatian. Meskipun kanta lekap berperanan besar membantu memperbaiki penglihatan, namun pemakai kanta lekap akan terdedah dengan pelbagai risiko jika salah cara penggunaannya.

Pengguna remaja meningkat

Mata individu normal mempunyai tisu berwarna yang dikenali sebagai iris. Setiap individu mempunyai iris berbeza-beza. Kebanyakan remaja kita mempunyai iris berwarna hitam dan coklat gelap.

Untuk tampil berbeza, remaja antara individu yang dikenal pasti obses membeli kanta lekap berwarna untuk dijadikan koleksi aksesori mata mereka.

Corak kanta lekap juga berperanan menampilkan kelainan pada paras rupa si pemakai. Selain meniru gaya artis pujaan mereka, warna yang pelbagai mampu menaikkan aura mata mereka supaya kelihatan lebih seksi.

Jangan terlalu obses untuk kelihatan cantik sampai tidak memikirkan akibatnya pada masa akan datang. Seeloknya pengguna disarankan membeli dan mendapatkan nasihat daripada pakar optometris.

Wujud ejen tidak berdaftar

Hari ini, kanta lekap bukan saja mudah didapati di pasar malam bahkan boleh dibeli secara atas talian. Remaja yang tidak mengalami masalah penglihatan biasanya berani membeli dan menggunakannya tanpa nasihat pegawai optometris.

Tidak kisah akan risikonya, asalkan dapat memiliki kanta lekap dengan harga murah. Pembelian daripada ejen yang tidak berdaftar akan menyebabkan pengguna tidak tahu cara penjagaan dan penggunaan kanta lekap.

Justeru, remaja juga tidak tahu komplikasi teruk yang akan terjadi disebabkan penyalahgunaan kanta lekap. Ini kerana mereka tidak didedahkan dengan maklumat dari segi jenama berdaftar, saiz dan tarikh luput kanta lekap ketika membelinya daripada ejen yang tidak berdaftar.

Berkongsi kanta lekap

Kebanyakan pengguna terutamanya remaja sering berkongsi atau bertukar-tukar kanta lekap. Tanpa mengeluarkan wang yang banyak, mereka punya lebih banyak pilihan untuk digayakan.

Sekali dua mungkin tidak menjejaskan kesihatan mata. Hakikatnya pada masa terdekat ia akan menyebabkan komplikasi yang teruk pada mata mereka. Komplikasi mungkin dialami seperti jangkitan kuman, kabur penglihatan atau sakit mata yang berlarutan.

Sekiranya anda mengalami komplikasi itu, anda dinasihatkan berhenti menggunakan kanta lekap dan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan doktor mata.

Mata anda boleh menjadi buta jika lambat mendapatkan rawatan daripada doktor kerana jangkitan kuman amat mudah merebak.

Kurang pendedahan

Ramai remaja beranggapan kanta lekap sama seperti aksesori kecantikan yang lain. Asalkan mata kelihatan cantik, itu sudah mencukupi. Namun, risiko yang berlaku nanti akan memudaratkan masa depan mereka. Kurang pendedahan atau iklan mengenai komplikasi dan cara penggunaan yang betul menyebabkan remaja mengambil mudah masalah ini.

Malah, ada yang berani menggunakan kanta lekap lebih daripada lapan jam sehari. Patuhi had masa yang disarankan kerana mata juga memerlukan oksigen. Selain itu, tidur tanpa menanggalkannya juga berisiko tinggi menghidap ‘ulser kornea’.

Ulser kornea boleh menyebabkan seseorang menjadi buta. Pembedahan penggantian kornea adalah satu-satunya rawatan yang ada. Namun, perlu di ingatkan bukan mudah untuk mendapatkan penderma mata.

Penjagaan rapi

Memakai kanta lekap tidaklah semudah yang disangka. Kanta lekap bukan seperti anda memakai bulu mata palsu yang hanya perlu digam. Ia memerlukan penjagaan yang rapi bagi menghindari komplikasi kebutaan.

Anda perlu mengikut arahan penjagaan seperti berikut untuk menghindari risiko itu. Cuci tangan dengan sabun tanpa pewangi sebelum memegang kanta lekap. Keringkan tangan menggunakan tuala yang bersih.

Bagi remaja yang bersolek, anda mesti memakai kanta sentuh sebelum bersolek. Jangan gunakan air paip untuk mencuci kanta lekap kerana kuman di dalam air paip boleh menyebabkan jangkitan pada mata.

Cuci kanta lekap menggunakan jari kelengkeng dengan menyapu secara perlahan pada kanta yang diletakkan di telapak tangan untuk membuang kekotoran. Gunakan bahan pembersih yang disarankan oleh pembekal atau kedai optometris.

Risiko

Penjagaan sambil lewa dan penggunaan kanta lekap melebihi had masa memang memberi kesan buruk pada kesihatan mata. Ini kerana mata memerlukan oksigen dan jangkitan kuman akan memburukkan lagi keadaan mata anda.

Antara risiko yang anda akan hadapi adalah luka atau calar pada lapisan atas bola mata. Selain itu, alahan akan menyebabkan mata gatal, berair dan merah. Jika anda kabur penglihatan secara tiba-tiba, kemungkinan mata anda telah dijangkiti kuman dan akan buta.

Mata bukan mudah untuk ditukar ganti. Tidak salah untuk bergaya dengan kanta lekap tetapi belilah daripada pembekal yang berdaftar demi keselamatan mata anda!

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:18 AM