MOHAMAD Khairul Anuar dipenjara 10 tahun kerana membunuh neneknya tanpa niat.
MOHAMAD Khairul Anuar dipenjara 10 tahun kerana membunuh neneknya tanpa niat.
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Seorang bekas pegawai Imigresen dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah membunuh tanpa niat neneknya pada Oktober 2013.

Mohammad Khairul Anuar Najhib, 31, bernasib baik terlepas hukuman gantung sampai mati selepas ditawarkan tuduhan pilihan daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana mematikan orang dengan salah.

Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah menyebabkan kematian Norsiah Marshidi, 77, dalam kejadian di Kampung Baru, Gunung Rapat, di sini kira-kira jam 5.30 petang pada 25 Oktober 2013.

Noorin dalam penghakimannya berkata, tertuduh melakukan kesalahan yang serius hingga menyebabkan keluarga sendiri terkorban dan alasan yang diberikan iaitu tertekan dengan masalah perkahwinan serta penceraian bukan alasan untuk melakukan tindakannya itu.

Pertuduhan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery, manakala Mohamad Khairul diwakili peguam Ranjit Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 11:55 AM