BARISAN pelakon yang menjayakan drama bersiri Super Game Boy.
BARISAN pelakon yang menjayakan drama bersiri Super Game Boy.
Oleh Ramlah Zainal


Selepas kejayaan dua telefilem komedi Super Game Boy sebelum ini, saluran Astro Ceria menampilkan pula projek drama bersiri dengan pengisian yang lebih menarik sekali gus sarat dengan mesej positif.

Menggunakan judul sama, drama bersiri 13 episod, Super Game Boy arahan Prem Anand Pillai ini menjanjikan kelainan dengan memperkenalkan watak baru dengan penceritaan yang lebih segar dan padat.

Barisan pelakon yang menjayakan drama bersiri terbitan Nusantara Seni Karya Sdn Bhd ini ialah Wafiy, Mia Sara, Izz Ilham, Farhanna Qismina, Erissa (Ceria Popstar).

Tidak ketinggalan Rykarl, Farahdhiya, Achey Bochey, Didie Alias, Datuk Jalaluddin Hassan, Radhi Khalid, Henzi Andalas, Julia Ziegler, Zamarul Hisham, Normah Damanhuri, Alif Hadi dan Mawar Rashid.

Menurut Prem, drama yang menceritakan kisah pengembaraan empat sekawan ini dapat memberi kesan positif yang mampu membantu kanak-kanak untuk belajar erti berdikari.

“Selain menghiburkan, drama ini sarat dengan mesej dan pengajaran yang boleh dijadikan panduan dan teladan.

“Setiap episod akan meninggalkan impak positif dengan mengajar kanak-kanak untuk berfikir dengan bijak dalam menyelesaikan masalah atau misteri yang dihadapi.

“Saya berharap drama ini mendapat sambutan daripada penonton terutama golongan kanak-kanak seperti dalam dua telefilem sebelum ini,” katanya.

Prem ditemui pada majlis pratonton drama bersiri Super Game Boy di GSC, The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sudah biasa dengan pelakon cilik

Bukan mudah untuk mengendalikan barisan pelakon cilik dalam projek drama bersiri seperti Super Game Boy ini.

Namun, Prem pula sebaliknya mengakui dia tidak ada masalah bekerjasama dengan barisan pelakon cilik dalam drama berkenaan.

“Saya pernah bekerjasama dengan barisan pelakon cilik dalam projek drama dan supertele Strawberi dan Karipap sebelum ini. Setakat ini, barisan pelakon kanak-kanak memberikan komitmen seperti dikehendaki watak masing-masing.

“Ada antara mereka yang pernah bekerja dengan saya sebelum ini seperti Mia Sara dan Rykarl. Justeru, saya sudah tahu untuk mengendalikan mereka sepanjang penggambaran,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai drama itu, kata Prem, penggambaran berlangsung dalam tempoh 23 hari di lokasi pelbagai tempat di ibu kota.

“Penggambaran drama ini juga siap sepenuhnya pada pertengahan Januari lalu. Jika mendapat sambutan, pihak kami juga merancang untuk menyambung cerita ini dalam projek supertele pula nanti,” katanya.

Super Game Boy menceritakan pengembaraan Danial, lakonan pelakon yang dicungkil bakatnya daripada program Ceria Popstar musim pertama iaitu Wafiy.

Apa yang menarik, kali ini, Danial dan kawan-kawannya iaitu Ayu (Mia Sara), Bob (Izz Ilham) dan Nina (Erissa) kembali beraksi sebagai penyiasat dengan menubuhkan agensi ‘The Super Gamers’ dengan tujuan menolong sesiapa saja yang dalam kesusahan.

Ikuti perjalanan empat sekawan ini dalam mengharungi pelbagai cabaran untuk menyelesaikan bermacam-macam situasi seperti mengatasi pembuli, misteri rumah hantu dan sebagainya.

Ia bakal bersiaran pada setiap Sabtu, jam 11 pagi bermula 21 Mac ini menerusi saluran Astro Ceria (611) dan di Maya HD (135).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:10 AM