“Saya seolah-olah mempunyai kehidupan rahsia,” kata Katarina Johnson-Thompson menjelaskan pernah membuat ibunya mengalirkan air mara.

Pada usia sembilan tahun, dengan uji bakat di Royal Ballet School menantinya, berbeza dengan filem Billy Elliot, dia memilih sukan, bukannya tarian.

Minatnya terhadap bola sepak di Liverpool dan bukannya ballet di London, akhirnya membawa dia ke bidang olahraga.

Katarina yang menduduki ranking no 1 dunia dalam acara pentatlon dan heptatlon, bakal bersaing dengan Jessica Ennis-Hill, 18 bulan dari sekarang dan pasti menjanjikan pertarungan hebat.

Jessica yang berkahwin dan menjadi ibu selepas Sukan Olimpik London akan diuji kehebatannya oleh atlet Liverpool berusia 22 tahun itu.

Namanya mungkin agak panjang untuk disebut, namun dia sering dipanggil KJT, mengikut huruf pertama kini bersedia untuk menunjukkan kehebatannya pada kejohanan dunia di Beijing tahun ini dan Sukan Olimpik Rio 2016.

Bagaimanapun, Katarina masih senang mengingati bagaimana dia memilih sukan dan bukannya tarian.

“Jika anda melihat gambar saya ketika kanak-kanak, pasti anda ketawa,” katanya.

“Kerana saya sentiasa memakai jersi. Begitupun ibu (Tracey) saya seorang penari. Dia terbang mengelilingi dunia, sebagai penari dan begitulah dia menemui bapa saya, di Bahamas.

“Sewaktu saya masih kecil, dia membawa saya ke kelas tarian. Pada usia sembilan tahun, saya katakan: ‘Saya tidak sukakan ini...’ Ibu saya kecewa dan guru tari saya menangis. Dia mahu saya mengambil kelas secara peribadi dan pergi ke Royal Ballet pada tahun berikutnya.

“Begitupun saya bersungguh-sungguh, dan ibu berkata, ‘Baiklah, anda boleh berhenti, tetapi anda perlu mempunyai hobi.’ Saya bermain bola sepak dan menjadi penjaga gol, tetapi saya tidak begitu suka bermain di depan gawang.

“Syukurlah saya mengenali olahraga. Pada mulanya saya tidak begitu suka, tetapi apa yang melucukan kini ibu menjadi penggemar olahraga. Dia seorang pakar dan mempunyai banyak buku olahraga.”

Minat mendalam ibunya tarhadap tarian beralih kepada heptatlon, gabungan tujuh disiplin trek dan padang, medan Jessica dan Katarina akan bertemu di Gotzis, Austria pada Mei ini.

Katarina hanya tertawa dengan andaian Jessica pasti bergelut selepas berehat dua setengah tahun untuk kembali ke prestasi terbaiknya.

“Saya tidak pasti mengenai perkara itu. Saya tidak pernah memandang rendah kepada Jess. Jika dia akan kembali, dia akan kembali dengan cara yang betul,” katanya.

“Saya hanya lakukan apa yang biasa saya lakukan sebelum apa-apa kejohanan dan mempersiapkan diri dan fokus terhadap apa yang saya perlu dilakukan. Itulah cara terbaik mendapat keputusan yang baik.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:02 AM