Adakah sesuai menggunakan air paip untuk ditambah di tangki penyejuk? Selain itu, boleh beri pandangan atau nasihat untuk menjaga radiator supaya tahan lama atau tidak berkarat.

KAMAL, Kuala Lumpur

Adalah tidak sesuai menggunakan air paip kerana ia mengandungi bahan klorin yang dicampur sebagai pembasmi kuman.

Ia juga mengandungi mineral dan bahan tercemar serta akan bertindak balas secara kimia dengan dinding radiator.

Selain itu, air paip tidak mengandungi perlindungan hakisan atau karat atau anti pembekuan dalam musim sejuk walaupun ia kurang relevan dengan cuaca negara ini.

Air paip yang diisi perlu dikeringkan dan sistem penyejukan dipenuhkan semula dengan bendalir penyejuk seperti disaran dalam panduan manual kereta anda.

Bendalir itu mempunyai campuran 50 peratus pekatan penyejuk dan selebihnya air suling bagi memberi perlindungan maksimum.

Bilas radiator setahun sekali untuk mengekalkan kebersihannya dan gunakan bahan tambah penyejuk dalam sukatan betul. Ia mampu mengelak karat dan meningkatkan takat suhu didih bendalir penyejuk.

Selain itu, keluarkan udara yang terperangkap dalam sistem penyejukan. Jika tidak, biarkan tudung radiator terbuka ketika enjin masih sejuk dan hidupkan supaya aliran bendalir membebaskan udara yang terperangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:01 AM