Susunan Georgie Joseph


Pesona dimiliki aktor yang dilabelkan pelik Johnny Depp, 51, memang sentiasa menjadi pujaan peminat fanatiknya.

Tidak dinafikan, ramai mahu meniru gaya aktor terbabit menerusi pelbagai watak pernah dilakonkannya sebelum ini.

Dalam set penggambaran sekuel terbaru Pirates of the Carribean 5 di Australia baru-baru ini, seorang lelaki tidak dikenali cuba menceroboh set itu dengan menyamar ­sebagai watak Jack Sparrow yang dilakonkan Depp.

Jurucakap polis tempatan berkata, individu terbabit meniru penampilan Depp sebagai Jack Sparrow dalam filem berkenaan dengan memakai pakaian seakan-akan watak itu serta membawa seekor burung kakak tua di bahunya.

Dia juga menyarung baju hitam sambil mengenakan solekan tebal serta rambut ‘dreadlock’. Penampilannya itu membuatkan kru produksi menyangkanya sebagai Jack Sparrow.

Bagaimanapun, pengawal keselamatan tidak mudah terpedaya dengan helah individu itu yang jelas cuba memasuki set penggambaran tanpa kebenaran.

Belum sempat memasuki set, dia dipintas pengawal sebelum disoal.

Dalam insiden itu, lelaki terbabit dikatakan bertindak luar kawalan apabila cuba mengeluarkan pisau untuk mengancam sebelum lesap dari set penggambaran.

Pihak polis masih menyiasat siapakah individu terbabit sambil mencarinya.

Secara kebetulan, insiden itu berlaku tatkala Depp mengalami kecederaan di tangannya.

Akibat kecederaan itu, Depp terpaksa diterbangkan ke Amerika Syarikat bagi menjalankan pembedahan. Khabarnya, Depp bukan cedera di set dan berlaku sewaktu dia di luar penggambaran.

Bagaimanapun, kecederaan itu tidak mengganggu jadual penayangan filem terbabit. Produksi memaklumkan tarikh penayangannya masih kekal sama iaitu pada Julai tahun ini.

Filem sekuel terbaru itu mengambil lokasi di Australia pula kali ini yang menurut produsernya Jerry Bruckheimer, timbul isu mengenai

skrip serta perlukan lebih masa untuk kembali membuat penggambaran di laut.

“Masih ada yang belum selesai mengenai skrip berkenaan. Kami mahu skrip itu memuaskan hati semua orang begitu juga perbelanjaan produksi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 11:28 AM