Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Satu portal khas dikenali sebagai 1DANA (www.1Dana.gov.my) dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebenar tadi, bertujuan membolehkan rakyat mengakses semua geran dan pembiayaan untuk penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan yang ditawarkan agensi kerajaan dan kementerian.

Najib berkata, portal berkenaan dibangunkan oleh Jawatankuasa Pelaburan Dana Awam (JKPDA) iaitu sebuah jawatankuasa di bawah Agensi Inovasi Malaysia (AIM) selain dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Beliau berkata, portal itu juga diperkenal bagi memastikan ketelusan, mengelak pembaziran dan membolehkan pemantauan berpusat dan penilaian pelaburan negara dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan.

"Buat pertama kalinya, rakyat mempunyai akses kepada portal sehenti untuk melihat semua geran dan pembiayaan bagi penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan ditawarkan kerajaan," katanya.

Katanya, kerajaan juga berpeluang memantau dan mengesan prestasi dana berkenaan secara dalam talian sekali gus menggalakkan dan meningkatkan tadbir urus yang baik bagi pelaburan dana awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:21 PM