Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) menyasarkan eksport halal negara terus meningkat tahun ini berikutan penurunan harga minyak global serta penyusutan nilai ringgit.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Jamil Bidin berkata, penurunan harga minyak itu mampu mengurangkan kos logistik dan pengeluaran.

“Ini menyebabkan harga lebih kompetitif dan menggalakkan pengguna berbelanja iaitu sesuatu yang baik untuk negara,” katanya.

Bagaimanapun, Jamil mengingatkan mereka yang mengimport bahan asas bagi produk mereka perlu mencari alternatif lain.

Merujuk perspektif ekonomi negara, senario ekonomi global membabitkan Malaysia akan berubah sendiri, tetapi pada masa sama, kalangan komuniti perniagaan perlu membuat kesesuaian.

“HDC kekal optimis meraih pertumbuhan positif dalam eksport halal di sebalik perkembangan ketika ini. Malah, ia baru-baru ini menerima pelawaan syarikat Perancis untuk menjalin kolaborasi dalam pasaran halal negara berkenaan.

“Perancis akan menjadi pintu masuk baru kepada pasaran Eropah yang didiami kira-kira 40 juta Muslim. Saya turut dimaklumkan pasaran halal di Eropah saja bernilai £6 bilion (RM25 bilion),” katanya.

Menurut Jamil, menerusi kemasukan ke dalam pasaran baru itu, HDC kini di landasan tepat untuk menyumbang sekurang-kurangnya lima peratus kepada jumlah tahunan eksport halal negara.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2014, eksport halal adalah sebanyak RM28 bilion, meningkat 17 peratus daripada RM24 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama pada 2013. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 5:22 AM