DR ZANARIAH (kiri) dan Prof Chan sewaktu majlis pelancaran Janumet XR di ibu kota, baru-baru ini.
DR ZANARIAH (kiri) dan Prof Chan sewaktu majlis pelancaran Janumet XR di ibu kota, baru-baru ini.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Diabetes antara penyakit kronik membimbangkan yang menyerang kira-kira 1.9 juta rakyat Malaysia dan 382 juta individu di seluruh dunia. Sekurang-kurangnya 90 peratus kes diabetes adalah diabetes jenis dua iaitu badan dapat menghasilkan insulin, tetapi tidak mencukupi atau badan tidak dapat bertindak balas terhadap kesannya yang menyebabkan glukosa terkumpul di dalam darah.

Antara faktor punca diabetes jenis dua adalah berat badan berlebihan, peningkatan usia, sejarah diabetes dalam keluarga, bangsa, glukosa darah tinggi ketika hamil yang menjejaskan anak di dalam kandungan dan kekurangan pergerakan.

Bagi membantu mengawal penyakit itu, syarikat penjagaan kesihatan MSD menghasilkan tablet Janumet XR iaitu sejenis ubat makan untuk merawat diabetes jenis dua dengan menggabungkan sitagliptin phosphate bersama metformin hydrocloride.

Tablet yang dilancarkan baru-baru ini menawarkan pilihan rawatan mudah dengan pengambilan sekali sehari bagi pesakit yang memerlukan bantuan menambah baik paras gula dalam darah mereka.

Ia mensasarkan tiga masalah utama pada diabetes jenis dua iaitu kekurangan insulin daripada sel beta pankreas, ketahan insulin dan penghasilan glukosa yang berlebihan dalam hati.

Janumet XR menggabungkan dua ubat iaitu sitagliptin phosphate dan metformin HCI pelepasan lanjut yang setiap satunya berkesan dalam menambah baik kawalan gula tanpa meningkatkan risiko hipoglisemia.

Menurut pakar perunding endokrinologi kanan Dr Zanariah Hussein, pesakit diabetes akan mengalami pelbagai komplikasi seperti penyakit jantung dan strok, hilang penglihatan dan buta, kegagalan ginjal dan amputasi anggota bawah jika tidak dirawat.

“Menguruskan diabetes jenis dua seperti memilih makanan berkhasiat, bersenam secara tetap, mengambil ubat mengikut arahan doktor dan mengawasi paras gula antara langkah penting bagi mengawal paras gula dalam darah supaya sentiasa berada pada tahap normal.

“Kegagalan untuk mengawal paras gula dalam darah boleh mengakibatkan hipoglisemia atau hiperglisemia yang mana kedua-duanya boleh mengancam nyawa pesakit,” katanya.

Dr Zanariah berkata, disebabkan itu, pengambilan ubat seperti Janumet XR amat diperlukan dalam mengawal penyakit diabetes jenis dua.

Sementara itu, pakar perunding endokrinologi kanan Prof Chan Siew Pheng berkata, mencapai kawalan glisemia yang optimum terus menjadi cabaran baru yang nyata bagi pesakit diabetes serta pakar kesihatan.

“Disebabkan Diabetes melitus jenis dua antara penyakit kronik dan progresif, ramai penghidapnya memerlukan pelbagai jenis ubat untuk mengawal gula dalam darah mereka.

“Atas sebab itu, pemilihan ubat yang bersesuaian mampu mengawal penyakit itu untuk memastikan tahap kesihatan sentiasa berada pada tahap yang baik,”ujarnya.

Janumet XR disyorkan diambil sekali dalam sehari iaitu selepas makan sebaiknya pada waktu malam dan tablet itu tidak boleh dibelah, dipecah, dihancurkan atau dikunyah sebelum ditelan.

Tablet itu juga tidak boleh diberikan kepada pesakit yang menghidap gangguan ginjal , pesakit diabetes jenis satu atau yang mengalami ketoasidosis diabetes.

Dos ubat mungkin berbeza bagi setiap individu dan pesakit dinasihatkan berbincang dengan doktor sebelum memulakan pengambilan ubatan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 5:01 AM