KEADAAN bilik air mencerminkan keperibadian pemiliknya.
KEADAAN bilik air mencerminkan keperibadian pemiliknya.

Salam deko, kali ini kita dekati pula beberapa ruang terpencil yang tidak kurang pentingnya di kediaman untuk mendapat sentuhan dekorasi terbaik, antaranya ruang paling privasi iaitu bilik air atau mandi.

Ia mungkin dilihat remeh, tetapi tahukah anda bahawa dekorasi bilik mandi yang kemas mencerminkan keperibadian pemilik. Bayangkan jika semua ruang terhias indah, tetapi bilik air atau bilik mandi dibiarkan tidak terurus tanpa kebersihan dan dekorasi menarik?

Ini bermakna kediaman anda masih belum layak dinilai menarik dan eksklusif.

Bagi memaksimumkan bilik mandi kecil, terdapat beberapa perkara boleh dilakukan.

Pilihan saiz sinki penting supaya tidak menghalang pintu bilik air terutama bilik air sempit.

Jika anda memiliki bilik air yang luas, memiliki tab mandi di dalamnya bukanlah satu halangan, cuma pastikan kedudukannya kena dengan ruang dan sebaiknya tab mandi berdekatan dengan tingkap bilik air.

Jubin lantai ruang itu juga memainkan peranan penting. Pastikan anda memilih jubin sesuai sama ada jubin licin atau kasar. Jubin licin boleh dipasang pada kawasan kering di bilik air sementara jubin yang kasar di ruang basah seperti bawah tab mandi. Ini bagi keselesaan dan mengekalkan ciri-ciri keselamatan.

Elak menggunakan warna gelap seperti hitam di bilik air kerana warna gelap sukar menentukan tahap kebersihan dan bilik air yang gelap mudah membiakkan bakteria. Pilih warna lebih terang dan lembut dengan pencahayaan sempurna untuk memastikan kita mudah mengekalkan tahap kebersihan bilik air.

Pastikan di bilik air mempunyai cermin muka yang besar. Jangan lupa letak pepohon hidup renek yang sesuai di tempat sejuk dan kurang memerlukan cahaya matahari.

Semestinya aromaterapi seperti lilin mahu pun himpunan lebihan sabun lama boleh diletak dalam satu bekas dan dibiarkan di satu sudut. Elemen itu membantu memerangkap bau yang kurang menyenangkan.

Jika mempunyai pilihan pastikan bilik air mempu­nyai tingkap yang luas supaya sedikit cahaya mampu masuk dan tidak terlalu perap udaranya. Ini memastikan bilik air mudah kering dan bebas dari kuman atau bau tidak enak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 5:02 AM