BAYI yang baru dilahirkan harus menjalani pemeriksaan oleh pakar.
BAYI yang baru dilahirkan harus menjalani pemeriksaan oleh pakar.

Oleh Siti Zarinah Sahib

[email protected]

Teman penulis berseloroh yang dia mempunyai kuman Geng Bas Sekolah atau GBS ketika melahirkan anak pertama dan diberikan antibiotik sepanjang kelahiran. Terpinga-pinga penulis mendengar mengenai virus ‘lucu’ yang dikatakan itu.

Kemudian sambil ketawa dia memberitahu GBS yang dimaksudkan adalah singkatan untuk Streptokokus Kumpulan B, atau dikenali sebagai strep kumpulan B iaitu salah satu daripada pelbagai jenis bakteria yang biasanya hidup di dalam badan manusia.

Kira-kira satu pertiga daripada wanita membawa GBS di dalam usus tanpa disedari manakala kira-kira satu perempat mempunyai GBS di dalam faraj mereka. Kebanyakan wanita tidak mengetahui bahawa mereka dijangkiti GBS kerana biasanya ia tidak menunjukkan simptom tertentu.

Ujian GBS pula bukanlah satu ujian rutin ketika hamil sebaliknya hanya dilakukan apabila ibu mempunyai masalah seperti kelahiran pramatang, jangkitan kuman pada bayi atau apabila anak meninggal di dalam kandungan.

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Fertiliti KL, Dr Natasha Ain Mohd Nor, walaupun kes membabitkan GBS yang teruk jarang berlaku, sekiranya ia tidak dapat dikesan awal atau tiada langkah pencegahan diambil iaitu menerusi ubat-ubatan ia boleh menjadi punca jangkitan kepada bayi yang baru dilahirkan terutama pada minggu pertama selepas kelahiran.

Malah, dalam keadaan yang lebih teruk jika tiada langkah pencegahan, ia boleh menyebabkan keguguran dan membawa maut kepada bayi yang dilahirkan.

Oleh kerana kuman ini amat jarang diperoleh menyebabkan ramai mengambil mudah dan tidak tahu mengenai GBS. Mereka juga tidak sedar membawa GBS kerana tiada kesan buruk berlaku melainkan bagi yang melakukan ujian calitan faraj untuk memeriksa sesuatu yang lain.

Selain pemeriksaan calitan faraj, GBS boleh dikesan melalui air kencing ­ketika hamil dan ia haruslah

dirawat. Walaupun ia ­sudah dirawat, perhatian yang ­lebih masih perlu diberikan semasa proses

kelahiran.

“Dalam keadaan ini wanita hamil sering mendapati mereka mempunyai GBS secara kebetulan, apabila menjalani ujian calitan faraj untuk memeriksa lain seperti keputihan yang teruk, kegatalan vagina dan didapati mempunyai GBS. Namun, mereka tidak perlu risau kerana ia tidak meng­ganggu rutin seharian sebaliknya pengawasan akan diberikan sepanjang kehamilan dan lebih kerap ketika melahirkan anak,” katanya.

Bagi wanita yang berada dalam situasi berisiko tinggi doktor akan memberikan antibiotik intravena sama ada ketika hendak bersalin atau apabila air ketuban mulai pecah (yang mana berlaku dulu) sehingga bayi dilahirkan.

Ada beberapa faktor boleh membantu untuk mengesan sama ada bayi ­cenderung untuk mendapat jangkitan GBS terutama

bagi pembawa GBS sebelum ini.

“Antara tanda yang ditunjukkan adalah bersalin awal iaitu sebelum minggu ke-37 kehamilan, air ketuban pecah 18 jam awal atau lebih sebelum bersalin, suhu badan naik sehingga 38 darjah Celsius atau lebih ketika proses kelahiran.

“Mereka yang didiagnos mendapat GBS tidak digalakkan melalui prosedur pembedahan kerana ia tidak menghapuskan risiko GBS terhadap bayi. Namun, bagi yang bercadang melahirkan anak menerusi pembedahan, antibiotik intravena tidak diperlukan melainkan jika air ketuban pecah dulu atau sekiranya proses bersalin sudah bermula. Bagi mereka yang tidak tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi, tidak perlu bimbang kerana bayi anda tidak mudah dijangkiti GBS,” kata­nya.

Jelas Dr Natasha, pe­ngambilan antibiotik adalah langkah pencegahan paling tepat bagi wanita hamil yang berisiko tinggi mendapat GBS dan mengelak bayi dijangkiti GBS. Proses ini bermula daripada tempoh bersalin atau apabila air ketuban mulai pecah sehinggalah bayi dilahirkan.

Sebaik-baiknya, doktor menyarankan anda mengambil antibiotik sekurang-kurangnya dua jam sebelum kelahiran dan setiap empat jam sepanjang tempoh hendak bersalin. Namun, begitu wanita disarankan berbincang dengan doktor mengenai rawatan bagi mengelak sebarang kemungkinan.

“Ini kerana ada sesete­ngah antibiotik akan memberikan tindak balas terhadap bayi. Misalnya kesan sampingan yang kurang teruk daripada rawatan antibiotik seperti cirit-birit dan loya. Kesan buruk ini membuatkan sesetengah doktor lebih berhati-hati mengenai penggunaan antibiotik jika tiada keperluan menggunakannya, terutama terhadap bayi yang baru dilahirkan.

“Sesetengah doktor lebih gemar untuk melihat

dan menunggu dalam tempoh 12 jam selepas bayi dilahirkan sebelum memberikan antibiotik yang mungkin tidak diperlukan,” katanya.

Faktor lain yang harus diketahui ialah ada juga sesetengah kes wanita yang dijangkiti GBS pada awal kehamilan didapati tidak mempunyai GBS apabila tiba masa bersalin. Ini kerana kuman ini boleh datang dan pergi bergantung kepada ketahanan badan. Jadi, adalah penting bagi wanita hamil mengetahui bilakah bayi mereka cenderung untuk dijangkiti GBS dan tanda jangkitan terhadap bayi mereka.

Tanda bayi dijangkiti GBS

Kebanyakan bayi terdedah kepada GBS sebelum atau semasa proses kelahiran tanpa sebarang kesan buruk. Namun, tidak jelas mengapa sesetengah bayi boleh terkena jangkitan manakala yang lain tidak menerimanya. Dengan ubat-ubatan kebanyakan jangkitan GBS terhadap bayi baru lahir boleh dicegah.

Jelas Dr Natasha, jangkitan GBS pada bayi selalunya berlaku pada peringkat awal iaitu dalam masa tujuh hari selepas dilahirkan, dengan 90 peratus berlaku dalam tempoh 12 jam selepas kelahiran. Dalam kebanyakan kes, gejala jangkitan GBS pada bayi boleh diketahui semasa atau sebaik saja kelahirannya.

Tanda biasa jangkitan awal GBS terhadap bayi termasuk kurang menyusu, lesu, cepat meragam, tekanan darah rendah, suhu badan tinggi atau rendah, kadar degupan jantung atau kadar pernafasan yang luar biasa. Dalam kes yang lebih luar biasa, jangkitan GBS boleh berlaku apabila bayi berusia tujuh hari atau lebih bersama meningitis dengan septisemia.

“Dalam hal ini diagnos dan rawatan awal adalah penting bagi jangkitan permulaan akhir GBS atau meningitis. Jika bayi anda menunjukkan tanda ­seperti di atas, hubungilah

pakar pediatrik dengan segera. Jika tiada pakar pediatrik, teruslah ke unit kecemasan berdekatan untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Bayi yang baru dilahirkan seharusnya menjalani pemeriksaan serta-merta oleh pakar pediatrik. Sekiranya ibu dan anak benar-benar sihat dan mendapat rawatan penuh dengan mengambil antibiotik semasa proses kelahiran, bayi anda mungkin akan diberikan antibiotik.

Jika ibu dan anak sihat, tetapi si ibu tidak menerima rawatan penuh dengan mengambil antibiotik semasa proses kelahiran, bayi akan diberikan antibiotik sehingga dia benar-benar sihat. Bagi ibu atau bayi yang menunjukkan tanda jangkitan GBS, antibiotik harus diberikan kepadanya dengan segera.

Namun begitu semakin meningkat umur bayi semakin kurang risiko untuk dijangkiti GBS. Jangkitan GBS terhadap bayi jarang berlaku selepas berumur sebulan dan hampir-hampir tidak diketahui selepas tiga bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 11:20 AM