JARINGAN Keita tutup peluang Roma raih tiga mata.
JARINGAN Keita tutup peluang Roma raih tiga mata.
AFP

Milan: Seydou Keita meraih satu mata buat AS Roma yang beraksi 10 pemain ketika seri 1-1 dengan Juventus awal pagi semalam sekali gus menyaksikan juara bertahan itu kekal dengan kelebihan sembilan mata di puncak Serie A Itali.

Sepakan percuma lencong Carlos Tevez melepasi benteng Roma bagi gol ke-15 musim ini, membantunya kekal sebagai pendahulu penjaring terbanyak Serie A.

Namun, pemain veteran Mali, Keita menyamakan kedudukan pada minit ke-78 ketika Roma melakar rekod kelab dengan enam keputusan seri berturut-turut di laman sendiri.

Roma menyambut kehadiran Bianconeri ke Stadio Olimpico dengan terdesak untuk menang sekali gus mengembalikan peluang tipis bersaing merebut kejuaraan.

Anak buah Rudi Garcia seri enam daripada tujuh perlawanan terakhir liga, namun mereka tidak pernah seri enam kali berturut-turut di gelanggang sendiri, hinggalah awal pagi semalam.

Roma yang dibelenggu kecederaan beberapa pemain utama dan Gervinho hanya kembali daripada tugasan bersama Ivory Coast pada Piala Negara Afrika, pasti gembira dengan satu mata itu.

Garcia menyatakan pasukannya mempamerkan karakter untuk bangkit pada perlawanan itu.

“Dalam perlawanan seperti ini, kami sedar ia bergantung kepada situasi ‘set-piece’ dan begitulah kedua-dua gol dijaringkan.

“Kami beraksi 10 pemain, ketinggalan satu gol dan untuk bangkit dalam keadaan ini menunjukkan karakter sebenar pemain,” katanya.

Bagaimanapun Juventus kekal tidak kalah menentang Roma musim ini dan kelebihan sembilan mata dilihat semakin hampir merangkul kejuaraan keempat berturut-turut.

Jurulatih Massimiliano Allegri berkata, pasukannya sudah ‘mengorak satu langkah ke hadapan’, namun menegaskan ‘musim ini masih panjang.’

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 8:52 AM