Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berdepan dengan cabaran untuk mencatatkan nilai dagangan RM580.2 bilion (AS$ 160 bilion) menjelang 2017 berikutan situasi ekonomi global yang memberi kesan kepada prestasi dagangan negara berkenan.

Sasaran itu yang diletakkan bagi tempoh lima tahun bermula 2013 dengan peningkatan antara 15 dan 20 peratus setahun.

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keadaan itu berikutan situasi ekonomi China yang berdepan dengan cabaran dan Malaysia sudah mengambil langkah untuk memastikan nilai dagangan terus meningkat antaranya penubuhan Jawatankuasa Eksport Kebangsaan yang memulakan mesyuarat kali pertama pada Jumaat ini.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan yang memberi fokus kepada pelbagai isu eksport negara turut memfokuskan kepada dagangan China memandangkan negara berkenaan adalah negara terpenting bagi ekonomi negara.

Setiap tahun dagangan dua hala antara China dan Malaysia meningkat, tetapi ia dalam prestasi tidak menentu yang mana pada 2014, sebanyak 2.2 peratus peningkatan dagangan direkodkan, 2013 berkembang 12.5 peratus dan 2012, lapan peratus.

“Jawatankuasa ini akan diadakan dua kali setahun yang mana ia terdiri daripada pelbagai persatuan perniagaan, pihak swasta dan pemain perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membincangkan langkah yang boleh meningkatkan eksport negara.

“Bagi pengkhususan isu mengenai dagangan dengan China, terbaru, terdapat dialog MITI bersama pemain industri sudah memberikan beberapa idea yang boleh meningkatkan nilai dagangan antaranya pelaksanaan konsep pembelian semula, memfokuskan kepada pelbagai destinasi perniagaan di China, meningkatkan promosi halal dan memberi seminar mengenai pasaran negara berkenaan kepada usahawan tempatan,” katanya.

Prestasi dagangan antara kedua-dua negara setakat 2014, mencatatkan RM370 bilion dengan eksport menguncup 4.8 peratus dan import berkembang 8.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 7:44 AM