Muhammad Ozir menunjukkan produk yang dikeluarkan syarikatnya.
Muhammad Ozir menunjukkan produk yang dikeluarkan syarikatnya.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Krup Krup Karamel Enterprise komited untuk mencapai sasaran jualan RM1.2 juta tahun ini terutama disumbangkan peluasan pasarannya ke Singapura dan Brunei.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Ozir Zuri berkata, pihaknya akan memberi tumpuan pada satu produk tahun ini iaitu kudapan Krup Krup Karamel.

Katanya, selain Singapura dan Brunei, syarikat itu juga mengintai peluang untuk menembusi pasaran Timur Tengah menjelang 2016 serta membuka peluang kepada orang ramai yang ingin menjadi rakan niaga.

“Krup Krup Karamel juga sudah mendapat permintaan dari Indonesia dan kami akan berusaha untuk memasuki pasaran negara terbabit.

“Tahun ini juga, kami menjalankan program Krupers Apprentice bagi menyediakan platform untuk melahirkan usahawan jutawan menerusi modul khas yang dibangunkan syarikat,” katanya.

Menurutnya, menerusi program itu, pihaknya memberi pilihan kepada peserta untuk menjadi rakan niaga atau menggunakan strategi pemasaran yang diajar untuk memasarkan produk mereka yang lain.

Muhammad Ozir berkata, setakat ini 500 peserta sudah menyertai program terbabit dan pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 200 daripada mereka berjaya dibangunkan menjadi usahawan Krup Krup Karamel.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan siri jelajah bagi program itu mengikut zon iaitu utara, selatan dan timur, selain menyediakan modul lengkap untuk usahawan yang terbabit.

“Objektif utama kami mahu membantu dan melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berjaya terutama golongan belia disebabkan itu yuran dikenakan hanya RM70 seorang dan RM100 untuk dua orang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 9:15 AM