Kuala Lumpur: Pembida berjaya dalam proses bidaan hartanah lelong berhak memilih peguam sendiri untuk menguruskan urusan dokumentasi pemilikan kediaman, namun perlu memilih dengan teliti memandangkan prosesnya perlu dilakukan dalam tempoh pendek.

Rakan kongsi di Asiah & Hisam Peguambela dan Peguamcara, Mohd Zakwan Adenan berkata, peguam memainkan peranan sehingga pindah milik atau penyerahan hak sempurna berlaku ke atas nama pembida berjaya.

“Pindah milik perlu dilakukan dalam tempoh ditetapkan dalam Perisytiharan Jualan yang biasanya ditetapkan dalam tempoh 90 hari atau 120 hari.

“Sekiranya pindah milik tidak dapat disempurnakan, peguam boleh meminta lanjutan tempoh daripada bank yang membuat lelongan dan kebiasaannya lanjutan tempoh ini tertakluk kepada denda bayaran lewat,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Menurutnya, pemilihan peguam pilihan eksklusif pembida berjaya, namun terdapat segelintir ejen menawarkan khidmat guaman daripada firma sering berurusan dengan mereka.

“Pembida harus bijak dalam memilih kerana proses pembelian rumah lelong ini terikat dengan masa.

“Peguam berkenaan mestilah berpengalaman dalam menguruskan kes lelongan awam mahupun lelongan mahkamah kerana sekiranya berlaku kesilapan dalam proses dokumentasi, ia akan menjejaskan keseluruhan perjalanan proses jual beli rumah lelong,” katanya.

Mohd Zakwan berkata, caj guaman untuk lelongan sama seperti caj urusan pembelian rumah iaitu berdasarkan peratusan ditetapkan dalam Perintah Saraan Peguam Cara atau Solicitor Remuneration Order.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:08 AM