Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan tahap pelaburan memberangsangkan pada tahun lalu dengan pelaburan diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama mencapai jumlah sebanyak RM235.9 bilion berbanding RM219.4 bilion pada 2013.

Prestasi pelaburan pada tahun lalu itu menyaksikan ia melebihi sasaran purata pelaburan tahunan sebanyak RM148 bilion yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan meningkatkan lagi fungsi penyelarasannya dalam menarik pelaburan berkualiti iaitu asing dan domestik.

Menurutnya, kerajaan akan terus memperkenalkan pelbagai langkah untuk meningkatkan daya saing Malaysia untuk menghadapi cabaran dan peluang di dalam dan luar negara.

"Langkah-langkah ini meliputi penambahbaikan polisi pelaburan, pemudahcara, insentif fiskal dan bukan fiskal serta terus bekerjasama dan membabitkan diri dengan pemain industri dan pihak berkepentingan untuk menarik pelabur dalan semua sektor ekonomi," katanya pada persidangan media tahunan Mida di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 10:55 AM