Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan tindakan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan rayuan kepada Yang Dipertuan Agong berhubung kes liwat sebagai sudah dijangka.

Ketua Penerangannya, Jamawi Jaafar berkata, ia menunjukkan mereka mengaku bersalah atas pertuduhan liwat yang dijatuhkan sebelum ini, biarpun penyokong pakatan pembangkang menafikannya sebelum ini.

Katanya ia bertentangan dengan pendirian awal Anwar yang menegaskan tidak akan sekali-sekali memohon pengampunan daripada Yang Dipertuan Agong untuk menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah.

"Malah permohonan ini juga dilihat sebagai keputusan keluarga dan bukan keputusan parti. Jelas, dalam keadaan terdesak mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk kepentingan sendiri termasuk membelakangkan pendirian terdahulu dan suara parti," katanya dalam satu kenyataan media, sebentar tadi.

Justeru katanya, Pemuda UMNO menyeru supaya pengikut tegar Anwar dan PKR serta seluruh rakyat Malaysia membuka mata terhadap tipu helah untuk memutar belit isu untuk meraih simpati dan populariti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 9:33 PM