SEBAHAGIAN peserta ceria dengan hadiah kemenangan.
SEBAHAGIAN peserta ceria dengan hadiah kemenangan.
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Lebih 2,000 peserta menyertai Kejohanan Sukan Antara Zon (SUZON) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Melaka, baru-baru ini.

Program membabitkan mereka yang tinggal di kolej kediaman dan bukan residen di kampus berkenaan di Jalan Hang Tuah itu bertujuan mengeratkan hubungan dalam kalangan penuntut terbabit.

Selain itu, program berkenaan juga menyediakan platform terbaik untuk menggilap bakat sekali gus membuka ruang buat mereka yang terpilih mewakili UiTM Melaka dalam kejohanan sukan berprestij universiti berkenaan.

Urusetia kejohanan Jaslan Sidek berkata, berbekalkan moto ‘Sukan untuk Semua’, fokus utama SUZON menjurus kepada menyusun dan mempelbagaikan kegiatan ke arah pembangunan mental dan fizikal sebagai medium kecemerlangan ilmu.

Menurutnya, antara sukan dipertandingkan membabitkan bola sepak, bowling, bola jaring dan futsal.

Beliau berkata, membentuk generasi baru yang seimbang dari aspek moral, spiritual, emosi, jasmani dan mental sebagai belia pelapis kepimpinan negara di masa depan juga antara agenda utama penganjuran.

Katanya, lokasi pertandingan membabitkan beberapa kemudahan sukan di sekitar bandar raya, antaranya gelanggang futsal Klebang, pusat bowling Bandar Hilir dan Stadium Hang Tuah.

Penutup kejohanan itu disempurnakan Rektor UiTM Melaka Profesor Madya Dr Mohd Adnan Hashim.

Hadir sama Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Melaka Norazman Harun dan pengerusi kejohanan Dr Ismadi Md Badarudin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:16 AM