Oleh Siti Zarinah Sahib


Warna buah-buahan dan sayur-sayuran sebenarnya menggambarkan khasiat yang terkandung di dalamnya. Oleh itu mudah untuk kita memilih dan memaksimumkan pengambilan pelbagai khasiat dalam makanan dengan hanya melihat warnanya.

Warna merah pada tembikai dan buah naga contohnya mengandungi likopen yang bertindak sebagai antioksidan untuk badan. Nutrisi ini dapat mengurangkan risiko kanser prostat pada lelaki, menurunkan tekanan darah, mengawal pertumbuhan tumor dan kadar kolesterol LDL serta menghalang radikal bebas yang berbahaya.

Jingga pada buah oren dan betik pula mengandungi beta-karoten (salah satu sumber vitamin A) yang diperlukan tubuh sebagai bahan imunisasi melindungi kulit dan sel badan daripada pencemaran bahan kimia dan alam sekitar.

Buah-buahan berwarna kuning seperti pisang mengandungi vitamin C yang melindungi daripada jangkitan, meningkatkan imunisasi badan serta pertumbuhan dan pembaikan tisu. Selain itu ia juga mengandungi potasium yang juga baik untuk menurunkan tekanan darah tinggi, mengurangi pembentukan plak di arteri serta berfungsi sebagai pencuci perut.

Sayur-sayuran hijaumengandungi asid folat yang membina sel tubuh selain indola dan lutein yang membantu merendahkan tekanan darah dan kadar kolesterol LDL, menjadikan sistem pencernaan kembali normal serta meningkatkan kesihatan retina dan penglihatan.

Ia juga mengandungi alil sulfida yang bertindak menyerang sel kanser.

Yee sang yang menjadi hidangan utama Tahun Baru Cina mampu memberikan pelbagai khasiat yang diperlukan tubuh menerusi warna sayur-sayuran di dalamnya.

INFO

Yee sang sihat 7 warna

Bahan A

- 1 cawan hirisan lobak merah

- 1 cawan hirisan jambu batu

- 1 cawan kubis ungu

- 1 cawan hirisan salad romaine atau bulat

- 1 cawan daun ketumbar dicincang kasar

- 1 cawan limau gedang atau limau mandarin

- 1 pek hirisan isi ikan salmon

Bahan B

- 3 sudu enzim Noni Gold

- 3 sudu makan minyak zaitun

- 3 sudu makan jus limau

- 3 sudu makan manuka

- 1 sudu panggang bijan

- 1 sudu makan badam panggang

- Sedikit serbuk lada putih

Arahan:

1. Gunakan cawan penyukat untuk meletakkan semua bahan A di atas pinggan.

2. Tuangkan bahan B apabila semua tetamu berkumpul untuk makan dan sajian sedia dihidangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 11:25 AM