Tokyo: Dua menteri Kabinet Jepun meletak jawatan semalam dalam perkembangan memberi tamparan terhebat kepada pentadbiran Perdana Menteri Shinzo Abe sejak pelantikannya pada Disember 2012.

Dua menteri wanita itu - termasuk Menteri Perdagangan dan Industri Yuko Obuchi - dilihat menyukarkan lagi pelaksanaan dasar utama termasuk sama ada meneruskan perancangan menaikkan cukai jualan selain pembukaan semula reaktor nuklear yang ditutup selepas bencana Fukushima pada 2011.

Abe berharap dapat memperbaiki keadaan dengan menggantikan dua menteri berkenaan, namun pihak pembangkang kini mengambil peluang mencari kesalahan lain dalam kalangan menterinya yang dilantik pada rombakan Kabinet, September lalu.

Pakar politik menganggap peletakan jawatan menteri lain mampu menggugat masa depan Abe.

Timbalan ketua pembangkang Parti Demokratik Yukio Edano berkata, setakat ini ada lebih daripada dua menteri lain yang dianggap mencurigakan.

“Semua parti pembangkang akan bekerjasama menyuarakan isu-isu ini untuk mendapatkan penjelasan daripada menteri yang berkenaan,” katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:05 AM