Setiap penampilan solekan yang diinginkan seseorang wanita sangat berbeza me–ngikut cita rasa masing-masing. Ada yang mahu tampak nakal, berseni dan gaya bebas, yang boleh ditonjolkan menerusi pilihan jenis solekan berbeza.

Urban Decay melancarkan beberapa set solekan untuk membantu memudahkan wanita menampilkan gaya diinginkan. Antaranya, gincu berkrim, Sheer Revolution Lipstick.

Olesan nipis gincu yang mewah dengan pilihan warna berpigmen menjadikan bentuk bibir tampak menarik. Penampilan glamor saat sentuhan akhir di bahagian bibir dapat dilihat menerusi kilauan bak mutiara.

Walaupun kali pertama digayakan, ia pasti membuatkan si pemakai berasa selesa kerana gincu berkenaan menampilkan lapisan bermentega. Ia berfungsi untuk membantu melancarkan sapuan agar gincu tidak comot di luar garisan bibir.

Didatangkan dalam 10 pilihan warna, setiap satu gincu mempunyai gaya berbeza. Sheer Shame adalah rona yang sesuai untuk wanita menyampaikan cinta sejati manakala Sheer Slowburn mencetus gaya berani gabungan rona merah dan jingga.

Teknologi Pigment Infusion System memberikan teksture yang lebih berkrim, menyemarakkan warna ceria atau semula jadi dan gabungan idea untuk mendapatkan rona menarik yang diinginkan.

Formula Maxi-Lip pula membantu penampilan bibir tampak sempurna melalui kombinasi minyak dan bahan antioksidan yang digunakan.

Selain mentega shea, tiga jenis minyak jojoba, zaitun dan babassu membantu menambah lembapan, membekalkan vitamin C dan E yang bertindak sebagai antioksidan.

Rahsia mendapatkan wajah sempurna tanpa kesan cela boleh diperoleh melalui penyamar noda Naked Skin Weightless Complete Coverage.

Penyamar noda jenis cecair itu membantu menutup kesan cela dengan segera dan mudah tanpa menghilang–kan penampilan semula jadi pada wajah.

Lapan pilihan rona ditampilkan, bersesuaian dengan warna bedak asasnya, Naked Skin Powder Foundation untuk memudahkan padanan. Reka bentuk yang praktikal memudahkan penyamar noda ini dibawa ke mana saja kerana ia tidak memerlukan berus solekan.

Selain itu, solekan bahagian mata juga penting untuk memastikan penampilan tampak sempurna. Bagi mendapatkan bulu mata lentik, bolehlah mencuba Mascara Resurrection yang dilengkapi dengan serum.

Terdapat juga deretan pembayang mata dan bedak kompak berkonsepkan bedak asas untuk melengkapkan solekan wajah saban hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:04 AM