JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dengan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau 'Along' dalam serbuan di rumah di Senai, dekat sini, dua hari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, lelaki berumur 46 tahun itu ditahan pada kira-kira 11 malam selepas polis bertindak atas maklumat berkaitan kegiatan itu.

"Pemeriksaan menemui 79 keping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pelbagai bank, 71 sampul surat mengandungi dokumen butir peminjam, tiga buku tunai, tiga keping jadual pinjaman serta satu telefon bimbit," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, semakan mendapati lelaki itu tidak memiliki rekod jenayah dan dia kini direman sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan lapan kes samun di bandar raya ini selepas menahan tiga lelaki di Ulu Tiram, di sini, 10 Februari lalu.

Beliau berkata, ketiga-tiganya yang berumur antara 21 dan 33 tahun ditahan pada 4.25 pagi dan polis merampas beberapa barang termasuk tiga komputer riba, empat telefon bimbit, tiga sarung muka, enam sarung tangan, empat parang, pemotong besi serta sebuah kereta.

"Saringan ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif terhadap dadah manakala seorang daripadanya memiliki rekod dikehendaki polis melibatkan kes dadah," katanya.

Kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan, katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 5:47 PM