Oleh Mohd Sabran Md Sani


Seramai 200 peserta membabitkan pengusaha, ilmuwan, penyelidik, penggubal dasar, pegawai kerajaan dan agropreneur menyertai Seminar Kebangsaan Agro Pelancongan 2014 anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di Cameron Highlands, baru-baru ini.

Seminar bertemakan 'Agropelancongan Sumber Kekayaan Baru' itu bertujuan menyediakan landasan kepada peserta membentang serta membincangkan pengalaman dalam sektor agro pelancongan dan agropreneur.

Pelbagai kertas kerja dibentangkan dalam seminar dua hari itu dengan menyentuh isu seperti Agro Pelancongan Sebagai Sumber Ekonomi Baru, Kelestarian Produk Agropelancongan, Pemasaran dan Promosi serta Cabaran Masa Depan Agropelancongan di negara ini dan Kisah Kejayaan Agropelancongan.

Majlis perasmian seminar kali kedua itu disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Datuk Mohd Fadil Osman.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah MARDI, Dr Umi Kalsom Abu Bakar dan Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, MARDI, Jamaluddin Salim.

Turut serta Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kerajaan Negeri Pahang.

Pengarah Taman Botani Negara Shah Alam, Selangor, Muhammad Gaddafi Denis memberikan kertas ucaptama bertajuk Pembangunan Agro Pelancongan di Malaysia.

Ia diikuti pembentang lain seperti Ketua Penolong Setiausaha Perancangan Strategik, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Mohd Ali Sebran, Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Azreen Rusnan.

Turut membentangkan kertas kerja ialah Ketua Eko Pelancongan dan Hutan Bandar MARDI, Dr Noor Azlin Yahya dan Penolong Pengarah Seksyen Florikultur, Jabatan Pertanian, Muhamad Adli Salihin Samsudin.

Pada pertemuan itu, peserta mengadakan lawatan teknikal di Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands dan Ladang Teh Boh.

Ismail Sabri berkata, sektor pelancongan sangat penting kepada pembangunan ekonomi negara.

Kerajaan katanya mengambil pelbagai langkah untuk terus memperkasa industri pelancongan negara dengan memperuntukkan RM2 bilion untuk pembinaan infrastruktur pada tahun 2014.

Justeru katanya, kreativiti dan inovasi penting dalam industri agro pelancongan.

"Pemain dalam industri agro pelancongan bukan saja terletak di bahu kerajaan, tetapi ­pihak swasta yang ­bersama-sama mencari jalan dalam menyediakan aktiviti inovatif," kata­nya.

Teks ucapan beliau dibacakan Mohd Fadil.

Beliau berkata, agro pelancongan di Malaysia masih lagi bergantung kepada pengunjung domestik.

"Taraf hidup dan cita rasa rakyat Malaysia semakin tinggi dan 'expectation' mereka terhadap agro pelancongan juga tinggi.

"Oleh itu produk agro pelancongan yang ditawarkan mestilah mengambil kira cita rasa," katanya.

Agro pelancongan juga katanya mestilah mampu menarik pelancong bukan saja dalam negara, tetapi luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:00 AM