SIMBOLIK kerjasama antara Mundipharma dan SJAM oleh Hansang (kiri) dan Dr Low.
SIMBOLIK kerjasama antara Mundipharma dan SJAM oleh Hansang (kiri) dan Dr Low.

Bencana banjir yang melanda negeri di pantai timur, baru-baru ini membuka hati syarikat farmaseutikal, Mundipharma Pharmaceuticals Sdn Bhd (Mundipharma) dan St John Ambulans Malaysia (SJAM) Nasional untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa berkenaan.

Pengurus Negara Mundipharma, Hansang Kim berkata, melalui laporan peningkatan bilangan jangkitan yang berkaitan dengan air, syarikat itu amat bimbang terhadap kesihatan mangsa banjir.

“Kebersihan diri keutamaan nombor satu selepas banjir kerana ia penting untuk mengelakkan penularan penyakit berjangkit.

“Amat penting untuk mangsa menyedari penyakit bawaan air dan jangkitan topikal supaya mereka dapat mengambil langkah pencegahan,” katanya.

Laporan baru-baru ini menyatakan terdapat hampir 13,000 kes penyakit berjangkit berkaitan banjir di pusat pemindahan.

Menyedari banjir menjejaskan standard kebersihan yang berpotensi membahayakan kesihatan, Mundipharma menyumbangkan pelbagai barangan antiseptik BETADINE bernilai RM100,000 bagi mengurangkan penyebaran penyakit berjangkit.

BETADINE, nama yang kukuh dalam penjagaan luka di rantau ini selama lebih 50 tahun. Antara barangan yang didermakannya termasuk pembersih antiseptik yang berupaya menghalang pelbagai kuman berbahaya (bakteria, virus dan kulat) pada kulit.

Ia adalah satu formula bilas untuk membasuh tangan dan pembasmian kuman pada kulit.

Sementara itu, Ketua Komander SJAM, Datuk Dr Low Bin Tick berkata, sumbangan berkenaan amat dialu-alukan kerana percaya keberkesanannya terhadap jangkitan topikal boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan penyebaran jangkitan di kawasan terjejas.

“Dengan bencana sebesar ini, fokus kami adalah meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kebersihan diri dan alam sekitar dalam pencegahan penyakit berjangkit.

“Untuk tujuan ini, kami sudah menjalankan beberapa aktiviti pendidikan kesihatan dan menghantar sukarelawan untuk membantu membersihkan kawasan terjejas.

“Justeru, kami gembira bekerjasama dengan Mundipharma kerana kami berkongsi matlamat yang sama untuk meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup mereka yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 5:04 AM