MOHAMAD Soharto Mat Said (tengah) menunjukkan rokok yang dirampas. Turut kelihatan Leftenan Komander Maritim Mohd Hafidz Mohd Tajuddin (dua kiri), Leftenan Maritim Rody Bajie (dua kanan), Laskar Kanan Maritim Wan Isma'aun Hamat (kanan) serta Bintara Muda Maritim Zailan Yakob. FOTO Izhari Ariffin.

Oleh Ardyhansah Amat

Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kudat merampas 25,000 bungkus rokok dianggarkan bernilai RM125,000 dalam cubaan menyeludup di Simpang Mengayau, Rabu lalu.

Dalam kejadian 7.50 malam itu, APMM mengesan kehadiran bot pancung dinaiki tiga lelaki dari arah Pulau Mangsee, Filipina, dipercayai dalam perjalanan ke Kota Kinabalu.

Bagaimanapun ketika dihampiri, suspek bertindak cuba merempuh bot APMM namun berjaya dielak menyebabkan mereka melarikan diri sebelum terlanggar batu karang di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Penguatkuasa Maritim Kota Kinabalu, Komander Maritim Mohamad Soharto Mat Said berkata, ketiga-tiga lelaki dipercayai warga Filipina itu bertindak terjun dari bot berenang ke arah pantai sebelum melarikan diri.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan di dalam bot pancung berkenaan, pihaknya menemui 50 kotak besar berisi rokok jenama Premium.

Semua rokok, bot dan tiga enjin milik suspek dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 3:19 PM