Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Kuching: Kementerian Pendidikan akan mengkaji semula kemasukan pelajar dari Sabah dan Sarawak ke Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk menambah bilangan guru anak tempatan dari kedua negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia juga sebahagian daripada inisiatif mengatasi masalah kekurangan guru tempatan yang berkhidmat di kedua-dua negeri terbabit.

"Dengan peningkatan jumlah guru baru dari Sabah dan Sarawak, maka lebih ramai yang berpeluang untuk berkhidmat di negeri masing-masing.

"Ini secara tidak langsung membantu kerajaan melakukan banyak penjimatan kos, selain menangani isu berkaitan, termasuk perbezaan budaya," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan sebelum itu mengadakan pertemuan tertutup bersama Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan pucuk kepemimpinan Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Muhyiddin yang turut diiringi isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Bumi Kenyalang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 3:29 PM