Taipei: Wakil TransAsia Airways semalam menemui keluarga mangsa nahas pesawat terhempas minggu lalu untuk membincangkan isu pampasan selepas syarikat itu mula mengagihkan wang bagi membantu proses pengebumian.

Jurucakap TransAsia, Fang Chia-wen berkata, pertemuan kedua akan diadakan Rabu ini bagi perbincangan lanjut mengenai isu pampasan.

Menurutnya, syarikat sudah mula mengagihkan 1.2 juta dolar (RM134,000) bagi setiap mangsa kepada keluarga mereka untuk membantu kos pengebumian.

Sementara itu, di lokasi kejadian, penyelam masih berusaha mencari tiga lagi mayat yang belum ditemui dengan menggunakan pengesan logam bagi menjejaki jam tangan atau tali pinggang keledar digunakan.

Anggota pasukan penyelam Huang Han-chung berkata, “mungkin ada mayat yang mempunyai logam melekat padanya seperti rantai atau wang syiling yang boleh dikesan alat ini.

“Masih ada empat tempat duduk yang tidak dapat dikesan, jadi mungkin juga mangsa masih melekat pada kerusi mereka dengan tali pinggang keledar seterusnya berada di dasar sungai,” katanya.

Sementara itu, Presiden Ma Ying-jeou berkata, perkara diberi keutamaan buat masa ini adalah untuk menemui tiga mangsa yang masih hilang.

“Bagaimanapun, secara jangka panjang, kita juga perlu memperbaiki pengurusan dan latihan penerbangan awam,” katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 5:07 AM