PROGRAM CCM JATI beri peluang pelajar jurusan farmasi di USM menangani keperluan kesihatan masyarakat setempat.
PROGRAM CCM JATI beri peluang pelajar jurusan farmasi di USM menangani keperluan kesihatan masyarakat setempat.
LEONARD (berdiri, tiga dari kanan) memerhatikan pelajar USM melakukan ujian ketumpatan tulang kepada pengunjung program CCM JATI, baru-baru ini.
LEONARD (berdiri, tiga dari kanan) memerhatikan pelajar USM melakukan ujian ketumpatan tulang kepada pengunjung program CCM JATI, baru-baru ini.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Peranan farmasi dan pakarnya kini diakui penting sebagai satu daripada langkah pencegahan awal pelbagai penyakit dalam kehidupan harian manusia.

Pencegahan sememangnya ubat paling mujarab dalam usaha menangani pelbagai gejala penyakit sebelum ia merebak hingga menjadi bebanan dalam hidup kita.

Justeru, peranan pakar farmasi ini mula diletakkan seiring golongan profesional di mana skop tugasannya juga penting bagi membantu ramai invidividu hidup lebih baik menerusi bekalan ubat-ubatan yang betul.

Bagaimanapun, graduan farmasi yang baru menceburi industri ini bakal berdepan masalah sama seperti jururawat dan doktor baru iaitu sukar mendapat kerja di negara ini berikutan lebih 1,000 dijangka menerima ijazah setiap tahun sebagai tambahan kepada 10,677 ahli farmasi sedia ada di Malaysia.

Untuk menangani keadaan ini, satu kerjasama dijalin antara Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi melahirkan mahasiswa yang dapat merintis jalan menjadi usahawan dalam bidang peruncitan farmaseutikal komuniti.

Inisiatif ini dikenali CCM JATI (Jalinan Universiti dan Industri) adalah usaha sama oleh bahagian farmaseutikal CCM dan Pusat Pengajian Sains Farmaseutikal (PPSF) USM untuk mengenal pasti 50 pelajar tahun kedua, sekali gus mempersiapkan mereka merencanakan masa depan sebagai ahli farmasi komuniti.

Pengarah Urusan Kumpulan CCM, Leonard Ariff Abdul Shatar menjelaskan, inisiatif yang berjaya mendaftarkan 200 mahasiswa sejak 2011 ini menjadi platform untuk menyemarakkan lagi industri farmasi negara.

“Wujud saingan sengit ketika ini berikutan semakin ramai yang menceburi bidang ini. Selain melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran, pendedahan kepada industri ini juga amat penting untuk meningkatkan lagi mutu serta membezakan mereka dengan yang lain,” katanya.

Leonard juga mengatakan tidak ramai ahli farmasi yang ingin menjadi usahawan mempunyai ilmu dan pengalaman terhad untuk mengendalikan gedung runcit.

Aspek asas pengurusan dan pemasaran gedung runcit mungkin dilihat sebagai perkara asing bagi ahli farmasi yang lebih cenderung ke arah dunia akademik dan penyelidikan makmal.

“Pengalaman dan kepakaran yang kami tawarkan adalah bagi bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengilangan, pengedaran serta peruncitan yang membolehkan kami membantu ke arah pembangunan bakat juga keupayaan keusahawanan.

“Menerusi CCM JATI, program membina kapasiti ini membolehkan peserta mempelajari selok-belok industri dan menjadi batu loncatan untuk melangkah masuk dalam dunia kerjaya sebagai graduan yang ‘sedia menceburi industri’,” tambahnya.

Program tiga tahun ini dirangka unik untuk mempersiapkan mahasiswa berkecimpung dalam dunia perniagaan dengan pendedahan dalam bidang pemasaran, pengurusan perniagaan dan peruncitan langsung menerusi interaksi dengan profesional daripada CCM serta pelbagai sesi latihan yang dianjurkan.

Selain latihan profesional, pelajar juga diasah untuk mengembangkan kemahiran insaniah menerusi program kesejahteraan masyarakat yang dimulakan USM seperti memainkan peranan sebagai sukarelawan yang mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma dan khidmat rundingan kepada penduduk luar bandar.

Profesor Munavvar Zubaid Abdul Sattar, Dekan di Pusat Pengajian Sains Farmaseutikal (PPSF), USM berkata, kemahiran keusahawanan adalah sangat penting supaya graduan farmasi ini lebih berdaya saing.

Bagaimanapun, kemahiran ini perlu disokong ke-sungguhan individu terbabit untuk menyumbang kepada masyarakat.

“Sebagai satu daripada 100 pusat pengajian farmaseutikal utama di dunia berasaskan pengiktirafan oleh Quacquarelli Symonds (QS), kami berusaha memupuk graduan yang berwibawa berpandukan sembilan nilai teras iaitu penjagaan, pembuatan keputusan, penyampaian, kepemimpinan, pembelajaran, pengurusan, pengajaran, keusahawanan dan penyelidikan.

“Walaupun kemahiran perniagaan dan pemasaran yang kukuh amat penting, pelbagai langkah tambahan perlu diambil bagi memastikan ia dilaksanakan secara beretika dan memberi manfaat kepada kesihatan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, wujudnya program CCM Jati ini juga disifatkan sebagai menyokong inisiatif kerajaan untuk mengendalikan taburan ahli farmasi yang tidak sekata dan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam industri terbabit.

“Kami harap dapat membawa kepakaran ini kepada masyarakat di kawasan pinggir dan luar bandar menerusi pendedahan yang ditimba pelajar dalam aktiviti kesejahteraan masyarakat mereka.

“Kami juga berharap untuk meningkatkan pemilikan farmasi komuniti dalam kalangan golongan Bumiputera, yang ketika ini berada pada paras hanya 19.8 peratus,” tambah Leonard.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 5:05 AM