TAN galakkan pengambilan serat yang banyak seperti buah-buahan ketika musim Tahun Baru Cina ini.
TAN galakkan pengambilan serat yang banyak seperti buah-buahan ketika musim Tahun Baru Cina ini.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Hadirnya musim perayaan menandakan tibanya saat ‘berpesta makanan’ dalam kalangan masyarakat kita.

Tanpa mengenal usia dan bangsa, setiap musim perayaan disambut penuh meriah dengan pelbagai hidangan tradisi juga moden yang dijadikan satu kemestian di negara ini.

Dengan sambutan Tahun Baru Cina yang menjelang tidak lama lagi, pastinya kaum ibu mula sibuk merancang menu yang dihidangkan kepada keluarga dan tetamu kelak.

Lazimnya hidangan ini terutama menu tradisi, terdiri daripada hidangan berlemak, tinggi kandungan gula dan kurang serat yang tidak boleh dinikmati secara berlebihan.

Justeru, MBG Fruitshop mengadakan kempen tabiat makan secara sihat ‘Golden Sh88p Bonanza’ yang turut menawarkan ganjaran untuk pelanggannya mulai 1 hingga 28 Februari ini.

Pengarah Urusan MBG, Adnan Lee berkata, tahun baru 2015 dan Tahun Baru Cina yang bakal tiba bukan sekadar perayaan untuk diraikan seisi keluarga dan rakan taulan, tetapi juga masa untuk menghargai ibu bapa dengan menghadiahkan mereka sumber makanan seimbang.

“Pemberian hadiah tidak mampu membayar segala penat lelah dan pengorbanan ibu bapa membesarkan kita, tapi sedikit sebanyak ia menunjukkan kasih sayang serta penghargaan kita kepada mereka.

“Lebih bermakna lagi apabila hadiah ini menitikberatkan aspek kesihatan mereka dan untuk itu, MBG melancarkan beberapa set hamper yang dimuatkan dengan buah-buahan serta pelbagai makanan berkhasiat seperti biji chia.

“Kempen tabiat makan sihat MBG untuk musim perayaan Tahun Baru Cina ini juga berasaskan konsep ‘balance & recharge’ yang bermaksud menyeimbangkan kesan negatif disebabkan pengambilan makanan secara berlebihan dengan menambah tenaga badan daripada nutrien yang baik,” katanya.

MBG tidak ketinggalan melancarkan kempen ganjaran untuk pengguna di semua kedainya sempena musim perayaan ini yang meyediakan hadiah seperti telefon pintar OPPO NI mini, Samsung Galaxy Tab 4, Pensonic Papa Blender, 10 set Noni Gold & Chia Seed dan enam set bakul buah-buahan MBG yang mengandungi Noni Gold.

Dibantu pakar diet klinikal dari Pusat Perubatan Tropicana, Tan Yen Sing, kempen ini berkongsi kefahaman mengenai tabiat makan secara sihat yang sepatutnya diberi penekanan sejak bermulanya tahun baru, selain fokus ketika perayaan Tahun Baru Cina.

“Ketika musim perayaan, tidak ramai dalam kalangan kita yang mementingkan pengambilan makanan seimbang.

“Contohnya ketika Tahun Baru Cina, makanan seperti sosej Cina, serunding daging dan nasi pulut yang mengandungi banyak lemak, minyak, garam serta gula sering jadi pilihan hingga ia boleh memudaratkan kesihatan jika dimakan secara berlebihan.

“Sebaiknya ambil lima hidangan buah-buahan dan sayuran setiap hari. Makan sedikit buah sebelum makan untuk pastikan diri tidak terlebih makan dan selepas makan untuk membantu penghadaman.

“Gunakan kreativiti untuk mencampurkan buah-buahan ke dalam masakan dan juga sajian pencuci mulut. Minum jus buah-buahan untuk menggantikan air kordial,” katanya.

Tan mengingatkan masyarakat mengenai kes dilaporkan di China apabila seorang wanita terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang seluruh perutnya kerana terlalu banyak makan dan minum arak ketika sambutan Tahun Baru Cina lalu.

Menurut doktornya, keadaan itu boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera. Setiap tahun, hospital di seluruh dunia menerima pesakit yang terpaksa dimasukkan ke hospital kerana makan secara keterlaluan.

Strok dan serangan jantung mengejut juga kerap berlaku ketika musim perayaan berikutan ramai yang cenderung makan secara kerap dan berlebihan.

“Biasanya, kita akan berhenti makan apabila kita kenyang. Bagaimanapun, apabila mengambil minuman alkohol sambil makan, kita akan mengabaikan isyarat badan lalu menyebabkan diri makan terlalu banyak.

“Saya cadangkan anda berhenti makan sebelum rasa kenyang. Jangan abaikan isyarat kekenyangan seperti sendawa,” tambah Tan.

Untuk mengelakkan kecenderungan makan secara berlebihan, Tan menasihatkan supaya mengamalkan diet serat tinggi dengan membanyakkan pengambilan makanan seperti salad buah-buahan dan memilih versi Yee Sang yang lebih sihat sebagai sajian pembuka selera.

“Sajian makanan utama kita sewajarnya mengandungi separuh pinggan sayuran aneka warna, suku pinggan protein tanpa lemak seperti ikan, isi ayam, tauhu, kacang atau sayur kacang dan suku pinggan lagi karbohidrat kompleks seperti mi, nasi perang atau nasi putih, jagung, keladi dan kentang sebesar lebih kurang bola tenis.

“Selain menghadiri majlis jamuan makan hingga lewat malam yang menyebabkan kita kurang rehat, badan kita juga mengalami banyak tekanan ketika membuat persiapan untuk menyambut perayaan itu.

“Buah-buahan juga boleh membantu mengawal sistem penghadaman dan membekalkan vitamin, antioksidan dan nutrien yang diperlukan untuk meneutralkan kesan buruk daripada makanan dan tekanan ke atas badan ketika perayaan.

“Banyakkan makan buah-buahan dan minum air kosong mengikut jumlah liter seperti yang disyorkan setiap hari,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 5:05 AM