Taipei: Salah satu enjin pesawat malang TransAsia Airways 235 melahu sebelum juruterbang memadam enjin kedua seterusnya cuba menghidupkan semula kedua-duanya.

Pengarah Ekseutif Majlis Keselamatan Penerbangan Thomas Wang berkata, enjin kanan pesawat itu mengeluarkan isyarat kecemasan 37 saat selepas berlepas.

Rekod menunjukkan ia tidak terhenti seperti dimaklumkan juruterbang kepada menara kawalan, sebaliknya melahu tanpa perubahan tekanan minyak.

Enjin kiri ditutup 46 saat kemudian, dipercayai oleh salah seorang juruterbang sebelum usaha dilakukan untuk menghidupkannya semula. Malangnya, pesawat itu terhempas 72 saat selepas itu.

Punca enjin kedua ditutup belum dipastikan kerana pesawat itu mampu terbang dengan hanya satu enjin.

Agensi berita China News Agency berkata, pihak berkuasa kini melihat kemungkinan berlaku ‘kesilapan profesional.’ Sehubungan itu, 71 juruterbang TransAsia Airways akan menjalani ujian kemahiran, dengan 90 penerbangan dibatalkan dalam tiga hari akan datang, seperti diarahkan Pentadbiran Aeronautika Awam Taiwan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:12 AM