Oleh Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan pada hari keputusan rayuan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan bersalah tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, di Mahkamah Persekutuan 10 Februari depan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis akan menempatkan kekuatan anggota yang mencukupi sebagai persediaan sekiranya berlaku perkara yang tidak dingini.

Bagaimanapun, katanya, beliau percaya rakyat Malaysia sudah matang dan boleh menerima apa juga keputusan mahkamah nanti.

"Polis sudah sedia maklum mengenai perkara ini dan akan menempatkan anggota yang mencukupi untuk mengawal keadaan.

"Kita berharap tiada kejadian yang tidak diingini akan berlaku tetapi polis akan sentiasa bersiap sedia," katanya, petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 7:26 PM