Los Angeles: Pemain nombor satu dunia Serena Williams yang baru saja meraih gelaran perseorangan Grand Slam ke-19 pada Terbuka Australia akan menamatkan boikot 14 tahun terhadap kejohanan WTA Indian Wells.

Majalah Time melaporkan, Serena menceritakan detik gembira menyertai kejohanan itu, perasaannya mengenai cemuhan perkauman selepas penampilan kontroversi pada 2001 dan harapannya untuk beraksi pada kejohanan itu bulan depan.

“Sukar buat saya melupakan pengalaman menangis berjam-jam di bilik persalinan Indian Wells selepas menang pada 2001, memandu pulang ke Los Angeles dengan perasaan seolah-olah saya kalah perlawanan terbesar dalam karier, bukannya perlawanan kecil, tapi pertarungan yang besar,” tulis Serena.

“Saya bertuah berada pada tahap ini dan tidak perlu membuktikan apa-apa lagi. Saya masih dahagakan kemenangan seperti selalu, tapi perjalanannya agak mudah. Saya bermain demi cinta terhadap permainan ini. Kerana cinta dan memahami maksud kemaafan, saya akan kembali ke Indian Wells tahun ini.”

Serena menang Indian Wells dua kali, kini dikenali sebagai Terbuka BNP Paribas, pertama ketika hanya berusia 17 tahun pada 1999 dengan menundukkan Steffi Graf dan sekali lagi pada 2001 apabila bangkit daripada kalah set pertama sebelum mengatasi Kim Clijsters pada final.

Namun ketika final, sebilangan penonton mengejek dan mencemuh Serena selepas layak ke final dengan cara mudah apabila kakaknya, Venus menarik diri daripada bertemunya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 9:24 AM