Oleh Fardy Bungga

Gombak: Seorang pemandu treler berusia 32 tahun maut manakala kelindannya berusia 19 tahun cedera parah selepas treler dibawanya merempuh kenderaan berat dipercayai lori ketika menuruni bukit di Kilometer (KM) 32.3 Lebuh raya Karak menghala ke Kuala Lumpur, 3.50 pagi tadi.

Jurucakap polis berkata, pemandu terbabit Norazizul Hussin berasal dari Kelantan, bersama kelindannya Hisham Hashim dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur dengan membawa muatan barangan.

Menurutnya, ketika sedang menuruni bukit di tempat kejadian tiba-tiba treler dipandu mangsa terlanggar belakang kenderaan berat dipercayai lori.

“Bagaimanapun lori terbabit tiada di tempat kejadian sebaik pihak polis tiba.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian sementara rakannya parah dan dihantar ke Hospital Selayang,” katanya.

Sehubungan itu, polis kini sedang mengesan lori yang dirempuh mangsa bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 10:24 AM