Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Perasaan gembira dan bangga tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila kali pertama ibu bapa dapat mende­ngar si kecil mampu mengucapkan beberapa perkataan seperti ‘mama’ dan ‘papa’ ketika berusia setahun.

Setiap perkataan yang keluar daripada mulut si kecil itu sebenarnya mula dipelajari selepas dilahirkan dan menjadi mahir apabila memasuki usia lima hingga enam tahun.

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, pembelajaran bahasa adalah satu proses yang kompleks dan ia berlaku secara berperingkat serta memakan masa yang panjang.

Namun, terdapat pelbagai peringkat sepanjang tempoh kanak-kanak memperoleh bahasa yang dipelajarinya. Ada kanak-kanak yang petah bercakap ketika berumur tiga tahun dan sebaliknya.

Hal ini kerap merunsingkan ibu bapa mahupun penjaga. Sebenarnya, proses penguasaan bahasa banyak bergantung kepada faktor yang mempengaruhi pembelajaran seseorang kanak-kanak.

Mendengar, memahami dan bertutur adalah kemahiran asas yang diperlukan untuk mempelajari bahasa. Semua kemahiran ini saling berkaitan, mendengar dan memahami adalah proses pemerolehan maklumat manakala bertutur pula proses penghasilan maklumat yang diterima.

Kemahiran mendengar

Kemahiran mendengar menjadi titik mula pembelajaran bahasa bagi kanak-kanak. Kemahiran utama ini perlu dikuasai kanak-kanak sebelum mereka boleh mengeluarkan bunyi atau perkataan awal.

Pada awal kelahiran, bayi mula mendengar dan memberi tindak balas pada ritma pertuturan orang di sekeliling mereka. Tindak balas yang diberi biasanya dalam bentuk senyuman, ketawa dan tangisan.

Bayi mula mengenal pasti suara individu yang kerap berinteraksi dengan mereka. Ketika berumur enam bulan, kemahiran mendengar meningkat dan bayi sudah mula membezakan antara bunyi pertuturan dan persekitaran.

Proses mendengar menjadi semakin kompleks dan ketika berumur satu tahun, mereka mula mendengar dengan lebih baik serta memahami maklumat yang diperoleh.

Kemahiran memperoleh maklumat

Kanak-kanak mula mengaitkan objek dan perkataan ketika berumur satu tahun. Ketika ini mereka mula mengenali objek yang selalu dilihat dan arahan mudah.

Kanak-kanak memahami lebih banyak objek, arahan dan gambar apabila berumur dua tahun. Ketika kanak-kanak berumur dua hingga tiga tahun, mereka mula menggunakan memori dan belajar memahami arahan dua langkah (arahan pendek).

Si kecil menjadi semakin mahir dalam memahami maklumat ketika berumur tiga hingga empat tahun, dianggarkan 1,500 perkataan boleh difahami.

Mereka mula memahami arahan panjang (tiga lang­kah) dan soalan mudah seperti apa dan di mana. Ketika ini, mereka mula memahami lebih banyak perkara berkaitan konsep seperti preposisi (kata sendi nama), warna dan jantina.

Kemahiran pemahaman ini akan meningkat sehing­ga kanak-kanak berumur tujuh tahun. Ketika ini, mereka dapat memahami petikan yang panjang dan lebih sukar.

Kefahaman menjadi semakin kompleks dan dalam kitaran usia ini mereka juga mula memahami maklumat abstrak seperti sindiran dan gurauan.

Kemahiran bertutur

Semasa bertutur, seseorang akan menggerakkan alat pertuturan untuk menghasilkan bunyi yang bermakna dan difahami. Proses bertutur tidak hanya terhad kepada penghasilan bunyi saja, tetapi membabit­kan penggunaan nada dan intonasi yang bersesuaian.

Seawal umur empat bulan, bayi mula menghasilkan bunyi vokal. Kebiasaan­nya bayi akan menghasilkan bunyi vokal secara berulang seperti bunyi ‘aaa’ dan ‘iii’.

Ketika bayi berumur enam bulan, mereka mula menghasilkan bunyi ‘babbling’ (bebelan) dan ‘cooing’ (tangisan yang lembut atau manja).

Penghasilan bunyi bebelan berkait rapat dengan penghasilan suara serta pergerakan pembukaan dan penutupan rahang mulut. Pada tahap awal bebelan, bayi biasanya menghasilkan kombinasi bunyi konsonan dan vokal secara berulang seperti ‘baba’ atau ‘mama’.

Kombinasi bebelan menjadi semakin sukar apabila bayi berumur lapan hingga sembilan bulan. Ketika ini, si kecil akan menghasil­kan kombinasi bunyi yang membabitkan penghasilan bunyi konsonan seperti ‘babadebo’.

Seterusnya apabila berumur sembilan hingga 10 bulan, bayi mula meniru struktur percakapan orang dewasa. Pada tahap ini mereka mula menghasilkan bunyi ‘jargon’.

Bunyi jargon adalah vokal bunyi yang menghampiri pertuturan orang dewasa dari segi intonasi dan tekanan. Namun, bunyi yang dihasilkan tidak mempunyai sebarang maksud.

Kanak-kanak mula me­nyebut perkataan pertama apabila mereka berumur lebih kurang satu tahun. Ketika ini mereka mempelajari bahawa satu perkataan mempunyai makna masing-masing.

Mereka akan cuba meniru perkataan yang disebut orang dewasa. Perbendaharaan kata kanak-kanak akan meningkat dengan pesat selepas umur satu tahun.

Kebolehan kanak-kanak membina ayat akan mening­kat dari semasa ke semasa dan mereka boleh menggunakan struktur ayat orang dewasa ketika berumur lima hingga enam tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 9:16 AM