KEITH bersama tunangnya, Kim Raymond.
KEITH bersama tunangnya, Kim Raymond.
Oleh Ramlah Zainal


Nama dan popularitinya naik mendadak sejak berlakon drama bersiri, Ariana Rose yang mencetuskan fenomena di persada hiburan tanah air, tahun lalu.

Ternyata, lakonan mantapnya sebagai Tengku Adam Kamil bergandingan dengan pelakon Nur Fathia turut memberikan impak yang mendalam pada penonton.

Sejak drama itu, pelakon kacak, Keith Foo, 32, mengakui dia tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon drama dan filem sampai sekarang.

“Saya akui selepas drama Ariana Rose, tawaran berlakon tidak pernah putus dari pengarah dan produksi tempatan sampai sekarang.

“Saya juga memang banyak berlakon dalam drama dan filem tempatan kerana memang fokus untuk mengukuhkan nama di Malaysia pada tahun lalu.

“Pada tahun ini, saya putuskan untuk kembali berlakon dengan produksi di Indonesia dan kini terpaksa berulang-alik dari Malaysia ke Indonesia pula untuk projek lakonan,” katanya.

Antara drama lakonannya yang mendapat sambutan peminat di sini ialah Dalam Setiap Sujud, Jodoh Itu Milik Kita, Demi Kamu Cinta, Love you Mr.Arrogant dan Kasih Berbisik.

Projek filem terbarunya pula ialah watak utama dalam filem Kelip Kelip arahan Virginia Kennedy bergandingan dengan Nur Risteena terbitan Grand Brilliance.

Selain itu, selepas berlakon watak pembantu dalam filem Pilot Cafe, dia ditawarkan watak utama dalam filem Langit Cinta bergandingan dengan aktres, Nur Fazura.

Terlebih dulu mencipta nama di Indonesia, bintang sinetron Cinta & Anugerah serta Sinar itu sudah 10 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan di negara seberang itu.

Antara filem lakonannya di sana ialah filem Mati Suri, Paku Kuntilanak, Bidadari Jakarta, Pengantin Pantai Biru, Akibat Pergaulan Bebas 2, X-The Last Moment, Hantu Budeg dan Perempuan di Rumah Angker, Setan Tuli dan Tatung.

Tak anggap diri popular

Bakat dan populariti Keith Foo ternyata berjaya membuka mata ramai peminat tempatan. Malah, namanya mula tersenarai dalam pencalonan awal, Anugerah Bintang popular Berita Harian 2014 (ABPBH).

Walaupun namanya meniti di bibir peminat tempatan, Keith tetap tidak menganggap dirinya pelakon popukar di negara ini.

“Saya bersyukur kerana nama tercalon dalam beberapa kategori yang disenaraikan pada edisi kali ini.

“Ternyata, bakat lakonan saya sudah diterima peminat tempatan. Namun, saya tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang kerana sudah tercalon atau mara ke peringkat akhir pun sudah cukup bermakna, sekali gus pengiktirafan pada karier seni,” katanya.

Beralih sisi peribadinya pula, Keith yang pernah putus cinta dengan pelakon, Tyas Mirasih dan pernah digosipkan dengan Nur Fathia juga sudahpun mengikat tali pertunangan dengan kekasih hatinya, Kim Raymond pada 24 Jun tahun lalu.

Pasangan ini bertemu empat tahun lalu ketika berlakon dalam sinetron dan telefilem dan hubungan mereka mula menjadi serius sejak setahun lalu.

“Saya memang sudah bersedia untuk berkahwin dan buat masa ini, saya sibuk kumpul duit untuk membuat persiapan ke arah itu. Kalau sudah cukup duit mungkin kami akan berkahwin pada tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 10:51 AM